YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) di Bangkok, Thailand.

PAHANG BAKAL TARIK RM1.213 BILION PELABURAN THAILAND

KUANTAN, 6 MAC 2020: Pahang bakal menarik pelaburan bernilai RM1.213 bilion dari negara Thailand selepas termeterainya Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur-pelabur daripada negara itu pagi ini.

Majlis pemeteraian Perjanjian dan MoU yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Bangkok itu disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Muhamad.

Turut menyaksikan ialah Duta Malaysia ke Thailand, TYT Dato’ Jojie Samuel M.C.Samuel, serta delegasi Kerajaan Pahang yang lain termasuk YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,  Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak dan barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

Sebanyak dua perjanjian termeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dan Green World Genetics dengan nilai pelaburan RM400 juta serta antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan AE Carbon Capital (Bentong), dengan nilai pelaburan RM380 juta.

Majlis Menandatangani Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) di Bangkok, Thailand.

Pelaburan oleh Green World Genetics ialah bagi pembangunan Taman Penyelidikan Benih Tropikal Global termasuk pembinaan Pusat Latihan Inkubator Agropreneur di kawasan seluas kira-kira 518 hektar di Gambang, Kuantan.

Pelaburan oleh AE Carbon Capital (Bentong) pula ialah bagi pembangunan Taman-Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas kira-kira 11.33 hektar di Bentong.

Dua MoU pula termeterai antara PKNP dengan AE Carbon Capital (Bera) bernilai RM320 juta dan antara PSK dengan Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd bernilai pelaburan RM113 juta.

Pelaburan oleh AE Carbon Capital (Bera) ialah bagi pembangunan Taman Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas 20.23 hektar di Bera.

Delegasi Kerajaan Pahang pada YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) di Bangkok, Thailand.

Pelaburan oleh Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd pula ialah bagi pembangunan Taman Akuakultur termasuk pembinaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan di kawasan seluas 101.17 hektar di Rompin.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam ucapannya pada majlis menandatangani Perjanjian dan MoU itu berkata, , majlis hari ini ialah susulan kepada usaha berterusan dalam mempromosi dan menarik pelaburan asing ke Pahang.

“Ia susulan kepada promosi ‘Invest Pahang’ yang berterusan yang dianjurkan menerusi pendekatan langsung dengan syarikat-syarikat yang berpotensi serta juga menerusi sesi ‘High Tea’ seperti yang dianjurkan Januari lepas di Hotel Marriott, Bangkok,” katanya.

Beliau juga berkata, Pahang menyediakan beberapa lokasi strategik kepada pelabur-pelabur antaranya ialah Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan dan Taman Maritim Tanjung Agas, Pekan.

“Kerajaan Negeri sedang mengkaji lokasi yang paling sesuai di Kuantan, bagi pengwujudan Taman Aerospace Pahang sepertimana Taman Automatif yang sedia terdapat di Pekan,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Dr Sallehuddin serta pegarai-pegawainya, ekoran kejayaan penganjuran satu lagi sesi ‘Invest Pahang’ di sini.

“Belajar daripada pengalaman lampau, saya sedar bahawa kita tidak akan dapat memberi penyelesaian hanya menerusi set soal-jawab (Q&A) dan penyediaan panduan. Saya sangat percaya kepada perjumpaan bersemuka dan perbincangan.

“Oleh kerana kepercayaan inilah maka saya menegaskan supaya majlis seumpama ini diadakan bagi mendampingi bakal-bakal pelabur secara langsung, ” tegasnya lagi. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download