Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, semalam.

ORANG RAMAI SAMBUT BAIK PENANGGUHAN BAYARAN PEMBIAYAAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 07 NOVEMBER 2020 : Orang ramai menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai pilihan penangguhan dan pengurangan bayaran pembiayaan dalam perbentangan Belanjawan 2021 terutamanya bagi mereka yang kehilangan sumber pendapatan.

Pengumuman mengenai penangguhan ini disifatkan sangat membantu kerana mereka kini berhadapan dengan masalah ekonomi akibat kehilangan pekerjaan dan menyebabkan bayaran pinjaman mereka turut bermasalah.

Azwan Shafee

Azwan Safee, 30, mengucapkan rasa terima kasih dengan peluang yang diberikan oleh kerajaan yang disifatkan memahami keperitan mereka yang terjejas.

“Bagi saya, pilihan untuk menangguhkan atau mengurangkan bayaran balik pinjaman ini sangat bagus terutamanya kepada kami yang kehilangan kerja.

“Kami pun dah tak ada pendapatan macam sebelum ini jadi memang susah nak bayar pinjaman-pinjaman yang ada.

“Sekurang-kurangnya tempoh yang diberikan oleh kerajaan ini dapat digunakan untuk mencari pekerjaan atau memulakan perniagaan bagi membina semula hidup kami,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Sementara itu, Shahrul Azman Harun, 26, yang kehilangan kerja kerana pengecilan operasi syarikat berkata pengumuman ini memberikan kelegaan buat mereka yang terjejas.

“Sampai sekarang sebenarnya saya masih terkesan kerana kehilangan sumber pendapatan jadi pengumuman ini bagi saya sangat membantu,” katanya.

Dalam Belanjawan 2021, Kerajaan mengumumkan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 secara pilihan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan dua pilihan diberikan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan kepada poerusahaan mikro dengan jumlah pinjaman sehingga RM150,000.

Katanya mereka ini diberikan pilihan sama ada untuk menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: