YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak (kanan) ketika memantau pematuhan PKPB di Kuantan City Mall di sini.

ORANG RAMAI DINASIHAT PAKAI TOPENG MUKA BAGI TUJUAN KESELAMATAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 09 MEI 2020: Kerajaan Negeri menasihatkan orang ramai memakai penutup hidung dan mulut bagi tujuan keselamatan ketika mengunjungi premis perniagaan di negeri ini.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata Kerajaan Negeri telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memastikan penggunaan topeng muka ini dipatuhi orang ramai.

“Ini untuk keselamatan kita juga, bukan nak menyusahkan sesiapa.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak

“Masalah dia dua perkara, yang pertama undang-undang, yang keduanya keselamatan. Memang undang-undang kata tak boleh tapi yang penting jaga keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan pemantauan di kilang dan premis perniagaan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Kuantan hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YH Dato’ Zakaria Ibrahim, dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, SAC Dato’ Abdul Aziz Salleh.

Syarat penggunaan topeng muka ini telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dalam syarat-syarat am operasi premis di bawah Pelaksanaan PKPB Negeri Pahang yang menggariskan semua pekerja dan pelanggan hendaklah memakai topeng muka sepanjang masa berada di premis.

Setiausaha kerajaan negeri Pahang, YB Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai SOP yang dilaksanakan oleh kilang Polyplastic bagi menangani wabak pandemik covid-19 sebelum memulakan lawatan ke tapak kilang.

Selain itu, beliau berpuas hati dengan hasil pemantauan yang dijalankan dan laporan yang diterima pada hari pertama premis beroperasi dalam tempoh PKPB ini.

“Jadi hari pertama beroperasi nampak bagus dan pada hari ini juga saya telah meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan untuk turun padang, untuk memantau dan daripada laporan yang kita terima, Alhamdulillah dipatuhi.

“Kalau tengok trend hari ini, kerjasama baik dari peniaga, daripada public dan juga penguatkuasa. Saya nampak kerjasama tiga pihak ni bagus. Jadi kalau ini berterusan saya rasa kita tidak akan menghadapi masalah,” katanya.

Beliau berkata keadaan di Pahang juga masih berada di bawah kawalan berikutan tiada isu baru yang wujud.

“Keseluruhan di Pahang under control, tak ada isu baru, cuma kita dapat mengesan dua isu di Bentong semalam.

“Ini berkaitan dengan Pasar Borong Selayang dan Alhamdulillah dapat dikesan dan close contact pun negatif. Jadi saya rasa kita dapat control,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengadakan beberapa sekatan jalanraya melibatkan pemandu lori berikutan penularan wabak ini.

“Jadi ada sekatan jalanraya di beberapa tempat. Kita memeriksa sekejap sahaja, beberapa minit sahaja kita memeriksa pemandu lori dan juga kelendan, dan setakat ini pun kita dapat mengesan 2-3 kes.

“Dan memang strategi kita untuk memeriksa lori ini berkesan kerana dapat mengesan dua kes semalam yang bersabit daripada pasar borong. Jadi kita sehari dua ini masih meneruskan screening pemandu lori. Diharap pemandu-pemandu lori memahami, beri kerjasama kerana kita tak mahu lagi ada tularan baru yang berkaitan dengan pasar borong,” katanya.

Setiausaha kerajaan negeri Pahang, YB Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak (kanan) mendengar taklimat mengenai SOP yang dilaksanakan oleh kilang Polyplastic bagi menangani wabak pandemik covid-19 sebelum memulakan lawatan ke tapak kilang.

Selain itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas dengan menutup premis yang ingkar dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

“Semua penguatkuasa bersama dengan polis dan dalam peringkat awal ini tugas penguatkuasa untuk menerangkan apa SOP yang kita keluarkan dan menasihati peniaga-peniaga dan orang ramai supaya mematuhi SOP. Itu peringkat pertama.

“Kita berharap kita tidak mengambil tindakan undang-undang kerana tindakan undang-undang merupakan last resort. Kita akan pergi minggu ni, beberapa hari ini semua penguatkuasa akan pergi ke semua premis sebanyak mungkin, dan memberikan penerangan tentang SOPnya, tolong patuhi, mungkin ada yang tak familiar, saya dengar ada yang keliru, biasa, sebab baru.

“Tapi diharap dalam sehari dua ni boleh diberi penjelasan, diharap dalam seminggu ni semua dapat beri kerjasama tetapi sekiranya terus tidak patuhi kita tak teragak-agak mengambil tindakan pertama untuk menutup sebab kuasa yang ada pada PBT dan Jabatan Kesihatan ada untuk menutup premis. Tujuannya bukan nak mengganggu perniagaan tapi mahu jaga keselamatan orang lain dan peniaga itu sendiri,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: