Menteri Besar Pahang, YAB Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama kenamaan menunjukkan plakat Penghijauan Malaysia dan Pokok Kita Kehidupan Kita pada Majlis Pelancaran Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Pahang di Lembah Bertam, Cameron Highlands.

OPS LESTARI LEMBAH BERTAM TAMAT SEPENUHNYA 18 DISEMBER LEPAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

CAMERON HIGHLANDS, 05 JANUARI 2021: Ops Lestari yang dijalankan di sekitar kawasan Lembah Bertam telah tamat sepenuhnya pada 18 Disember lepas.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Ops Lestari: Lembah Bertam ini melibatkan kawasan seluas kira-kira 34.70 hektar.

“Pemilik kebun telah memberikan kerjasama dengan membuka sendiri rumah plastik dan binaan yang di bina di tanah-tanah ini.

“Ini menunjukkan secara tidak langsung, mereka (pemilik kebun) sedar tentang keseriusan Kerajaan Negeri terhadap sebarang aktiviti pencerobohan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Pahang di Lembah Bertam, di sini.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; barisan Exco Negeri Pahang; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin; Ahli Perlimen Cameron Highland, YB Tuan Ramli Dato’ Mohd Nor; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH Dato’ Ishak Nafis.

Menurut beliau lagi, lokasi penanaman pokok bagi majlis ini juga merupakan kawasan bekas pertanian yang diambil tindakan penguatkuasaan semasa Ops Lestari: Lembah Bertam dijalankan.

“Lokasi program pada hari ini di Lembah Bertam ini juga merupakan antara kawasan bekas pencerobohan haram setelah kerja-kerja penguatkuasaan dijalankan bermula 1 Disember sehingga 18 Disember lepas.

“Kesemua tanah yang terlibat dalam operasi ini adalah berdasarkan status tanah bagi kawasan penanaman adalah tanah kerajaan di mana ianya terletak dalam rizab sungai dan rizab jalan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kawasan penanaman seluas 0.40 hektar bagi majlis ini akan dimajukan sebagai pocket garden dan berpotensi untuk menjadi kawasan tumpuan pelancong di sini.

Beliau berkata Kerajaan Pahang memberikan komitmen padu bagi memastikan sumber asli di negeri ini kekal terpelihara demi kesejahteraan rakyat.

“Ini telah kita buktikan menerusi program penanaman pokok di kawasan bekas dicerobohi di Sungai Ichat.

“Sungai Ichat yang teruk tercemar dan berada pada tahap empat sebelum ini telah mencapai kualiti tahap satu sehinggakan airnya boleh diminum mentah-mentah,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di atas tindakan pantas menanam pokok di kawasan yang telah dicerobohi kerana ia merupakan punca bekalan air terawat bagi sebahagian besar penduduk di Cameron Highlands. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,048 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download