Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali
KUANTAN, 16 JULAI 2020 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi agensinya komited mengekalkan kelestarian negeri itu melalui perlaksanaan Operasi Bersepadu (Ops Gempur) bermula 14 Julai dan berakhir hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, operasi bersepadu tersebut melibatkan empat agensi utama iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Katanya, operasi itu diadakan serentak di seluruh negara dengan negeri Pahang turut komited melaksananya di beberapa daerah lain termasuklah Temerloh, Rompin, Cameron Highlands dan Kuantan.
“Secara keseluruhannya kita telah mengeluarkan sebanyak 160 kompaun, 61 notis arahan manakala sebanyak tiga penahanan kelengkapan telah dibuat dan satu kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak mematuhi AIA,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Operasi Bersepadu (Ops Gempur) Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang di Kompleks Mahkamah Kuantan, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah JAS Negeri Pahang, En. Mohd Sani Mat Daud, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, DSP Ajit Singh Khale Dial Singh, Pengarah SWCorp Negeri Pahang, En. Sharudin Hamid dan Timbalan Pengarah Jabatan Perlesenan MPK, En. Izzat Zainal Muhammad Safian.
Menurutnya, operasi terbabit telah memeriksa sebanyak 36 premis/industri dan hampir 70 peratus premis/industri terbabit didapati melakukan pelbagai kesalahan dan melanggar peruntukan perundangan serta dikenakan tindakan perundangan di bawah AKAS 1974.
“Kita berharap operasi seumpama ini akan membuka mata orang ramai khususnya penggiat industri dan pengusaha premis terhadap tanggungjawab mereka bersama dalam melestarikan negeri ini,” katanya.
Beliau berharap menjelang 2021 semua premis di negeri Pahang dapat mencapai zero non-compliances menerusi usaha berterusan dari semua pihak. – PAHANGMEDIA