YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak meninjau sebuah kebun yang sedang menanggalkan binaan melanggar syarat di Lembah Bertam, Cameron Highlands, baru-baru ini.

NOVEMBER TEMPOH AKHIR KOSONGKAN KEBUN HARAM

Oleh: Ain Nadhirah Basha

CAMERON HIGHLANDS, 28 SEPTEMBER 2020 : Kerajaan Negeri memberikan tempoh selewatnya sehingga November ini bagi pekebun di sini mengosongkan kawasan tanaman haram mereka.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata Kerajaan Negeri tidak akan membuka pintu rundingan berkaitan hal ini kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai.

“Tarikh yang dijangka, saya rasa tak sampai sebulan dari sekarang. Paling lewat bulan November. Kalau mereka tak kosongkan, kita (Kerajaan Negeri) akan kosongkan. Kita harap mereka bagi kerjasama.

“Susah nak berunding. Bukan sebab apa, kita lebih mementingkan keselamatan orang ramai. Satu perkara yang penting yang menyebabkan kita susah nak berunding, tengok sungai di belakang kita ini (Sungai Bertam) yang merupakan salah satu daripada sungai yang menuju ke Sungai Pahang.

Pekerja sebuah kebun sedang memunggah binaan yang diruntuhkan akibat melanggar syarat binaan di Lembah Bertam, Cameron Highlands baru-baru ini.

“Dan sepanjang Sungai Pahang banyak lagi LRA (Loji Rawatan Air) untuk kegunaan air minuman majoriti rakyat Pahang. Jadi kalau kita bertolak ansur dengan mereka yang bilangannya kecil ini, kita akan mengorbankan kepentingan majoriti rakyat Pahang,” katanya ketika membuat tinjauan keadaan Sungai Bertam di sini.

Beliau berkata oleh sebab itu, Kerajaan Negeri meminta orang ramai memahami tindakan yang diambil kepada para pekebun tersebut.

“Kita minta orang ramai memahami bukan Kerajaan tidak prihatin terhadap pekebun ini tetapi Kerajaan lebih mementingkan majoriti yang terkesan akibat aktiviti pertanian di pinggir-pinggir sungai.

“Dan kita sebenarnya dalam perlaksanaan peringkat awal bagi pertanian terancang. Kita telah kenalpasti tanaman yang sesuai untuk diusahakan dan sempadan juga telah dikenalpasti dan kawasan-kawasan tidak sesuai diusahakan sebagai pertanian, tidak akan diberikan kebenaran untuk diusahakan,” katanya.

Beliau berkata semua tanah yang telah dikenalpasti ini telah pun diserahkan kepada Perbadanan Cameron Highlands bagi tujuan pengelibatan awam dengan semua petani di Cameron Highlands.

“Antara kawasan-kawasan yang tidak dibenarkan untuk diusahakan adalah rezab jalan, rezab sungai iaitu 60 kaki daripada tebing, kemudian cerun yang kelas tiga dan kelas empat, kawasan-kawasan ini tidak dibenarkan.

“Sekiranya didapati ada aktiviti pertanian di tiga jenis kawasan ini, kami boleh kata ini illegal dan penguatkuasaan akan terus dibuat,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak Kerajaan Negeri telah mengeluarkan dua notis kepada pada pekebun terlibat iaitu pada Januari dan Ogos lepas.

“Ada dua notis yang dikeluarkan, yang pertama di bulan Januari. Notis dikeluarkan pada Januari itu ialah kerana kita masih cuba mensasarkan penguatkuasaan pada bulan Mac tetapi oleh sebab berlaku wabak COVID kita menangguhkan dan selepas itu, kita telah pun mengeluarkan notis kedua pada bulan Ogos yang lepas.

“Saya percaya mereka ini (para pekebun haram) memang menyedari kita akan membuat tindakan. Ditambah dengan dua notis yang telah dikeluarkan. Selain daripada tu masa yang diberikan sudah 10 bulan, rasanya memang cukup munasabah masa yang diberikan itu untuk mereka keluar dan mengosongkan tanah masing-masing,” katanya.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sebenarnya tidak mahu membuat menjalankan penguatkuasaan secara kekasaran kepada para pekebun ini.

“Kita seboleh-bolehnya tidak mahu konfrontasi dengan public. Tetapi sekiranya telah sampai masanya, jadual kita sampai ke tempat mereka, dan mereka tidak membuat sendiri (pengosongan) kita akan bertindak untuk mengosongkan tanah tersebut.

“Peringkat pertama, kita minta mereka mengosongkan sendiri dan menanggalkan struktur yang mereka bina, dan telah ada petani-petani yang bekerjasama yang telah menanggalkan struktur yang mereka bina dan kita ucapkan terima kasih kepada mereka.

“Peringkat kedua, kita akan sekali lagi menasihati mereka untuk menurunkan struktur yang mereka bina, meninggalkan tanah mereka dan pada peringkat ini selagi mereka sempat kita minta mereka keluarkan hasil terakhir mereka,” katanya.

Menurut beliau, selepas proses pengosongan kawasan kebun haram ini, Kerajaan Negeri akan mula menghutankan semula kawasan terlibat dengan kadar segera.

“Secepat mungkin kita mulai menghutankan semula semua rezab sungai ini yang telah pun kita isytiharkan sebagai rezab hutan. Saya rasa first of its kind rezab sungai kita jadikan rezab hutan.

Tali merah digunakan sebagai penanda had yang dibenarkan kepada pekebun untuk membuat binaan.

“Tujuannya kita nak menghutankan rezab sungai dan kita pun sedang bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) untuk mengenalpasti spesis hutan yang sesuai di tanam di tebing sungai.

“Fungsinya yang pertama ialah yang boleh mengukuhkan tebing dan juga boleh menyerap residu racun dan baja. Jadi secepat mungkin bila kita kuatkuasakan Jabatan Perhutanan akan mengambil alih untuk memulihkan semula kawasan terlibat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: