Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 25 JANUARI 2021: Lebih satu tan al-Quran yang rosak dalam kejadian banjir di Temerloh sejak awal bulan ini berjaya dikutip oleh Persatuan Sukarelawan Kebajikan Daerah Temerloh (PSKD Temerloh) dalam tempoh masa hanya tiga hari.
Setiausaha PSKD Temerloh, Puan Zarina Moidin, 49, berkata, aktiviti sukarela itu dilaksanakan oleh pihaknya setiap kali banjir berlaku di daerah ini dan bertujuan untuk memelihara kemuliaan al-Quran.
“Dalam tempoh selama tiga hari sahaja, kita berjaya mengumpul lebih satu tan al-Quran yang telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan dan mengikut kaedah hukum syarak.
“Kutipan bermula minggu lalu di Taman Mentakab Indah di mana kita kutip di rumah-rumah mangsa banjir. Kita tidak mahu orang ramai membuang al-Quran begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas semua al-Quran dikutip dan dikumpulkan, pihaknya akan membungkus kitab suci berkenaan di plastik sebelum diserahkan kepada pegawai JAIP untuk proses seterusnya.
“Kita laksanakan kerja-kerja setiap kali berlaku banjir di daerah ini. Setakat ini kita akan teruskan sebab masih ramai mangsa banjir yang ingin menghantar al-Quran yang rosak akibat banjir.
“Malah ada juga mangsa banjir yang berada di luar daerah Temerloh meminta kami untuk mengambil al-Quran yang rosak. Kita sudah minta mereka untuk kumpul di satu tempat dan kita akan datang ambil,” katanya. – PAHANGMEDIA