Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 15 JANUARI 2021 : Kerajaan Pahang melarang para sukarelawan dari kawasan merah yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk masuk ke Pahang bagi menjalankan kerja-kerja sukarelawan di kawasan banjir.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan tersebut diambil selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuklah Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
“Kerajaan Pahang sangat mengalu-alukan bantuan dan pertolongan daripada para sukarelawan seluruh Malaysia tetapi kerana perlaksanaan PKP, pelbagai garis panduan perlu dipatuhi bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 ini.
“Walau bagaimanapun, sukarelawan dari kawasan hijau, mereka boleh membuat permohonan secara dalam talian dan sekiranya mendapat kebenaran daripada PDRM, mereka dibenarkan datang untuk membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini,” katanya ketika ditemui pada Flagship Program Sukarelawan Pahang di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Pada program itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan bantuan ke beberapa rumah yang ditenggelami banjir baru-baru ini.
Dalam pada itu katanya, bagi sukarelawan yang berhasrat untuk menghantar sumbangan atau pun bantuan dalam bentuk barangan, ia boleh dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kesemua sukarelawan boleh mendaftarkan diri menerusi laman web https://e-banjir.pahang.gov.my bagi memohon kebenaran untuk menyampaikan sumbangan berkenaan dan menyemak status kelulusan permohonan selain mendapatkan surat kebenaran daripada pihak PDRM.
Kesemua proses permohonan adalah menerusi dalam talian bagi mengurangkan risiko penyebaran COVID-19. – PAHANGMEDIA