MUIP TETAPKAN EMPAT KAEDAH BAYARAN ZAKAT FITRAH TAHUN INI

KUANTAN, 23 APRIL 2020: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memaklumkan tiada perkhidmatan Amil Zakat Fitrah digunakan bagi menerima bayaran Zakat Fitrah pada tahun ini bagi mematuhi penguatkuasaan Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Setiausaha MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah AlMusta’in Billah sebagai Ketua Agama Islam Negeri Pahang telah memperkenankan kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang bagi tahun 1441 Hijrah ialah RM7.

Beliau berkata, MUIP telah menetapkan empat kaedah bayaran Zakat Fitrah bagi memastikan umat Islam di negeri ini dapat menunaikan Rukun Islam keempat itu.

Menurutnya, empat kaedah tersebuat adalah pertama secara atas talian (internet) melalui capaian ezakat.muip.gov.my, kedua melalui aplikasi PahangGo, ketiga menerusi aplikasi SnapNPay dan yang keempat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) Zakat Fitrah Pahang 15888 bagi mereka yang tiada kemudahan untuk membuat bayaran secara atas talian.

“Kaedah bayaran melalui SMS Zakat Fitrah Pahang 15888 ini adalah pilihan hanya kepada mereka yang tidak mempunyai kemudahan membuat bayaran secara atas talian, tidak mempunyai anak atau saudara mara atau individu yang boleh membantu membuat bayaran secara atas talian serta tiada wakil untuk membayar Zakat Fitrah secara atas talian bagi pihak mereka,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui kaedah ini MUIP akan mendahulukan bayaran bagi pihak pembayar dan memerlukan pembayar membuat bayaran semula kepada MUIP selepas berakhir tempoh PKP.

Menurutnya, jika PKP ditamatkan dalam tempoh bulan Ramadhan dan khidmat Amil Fitrah disediakan, maka kaedah bayaran melalui Zakat Fitrah 15888 ini tidak lagi disediakan.

“Keharusan menggunakan kaedah bayaran melalui Zakat Fitrah Pahang 15888 ini adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

“Selain kaedah-kaedah bayaran yang dinyatakan di atas, pihak MUIP akan terus menyediakan lain-lain kaedah bayaran alternatif kepada mereka yang tiada kemudahan membuat bayaran secara atas talian agar tanggungjawab menunaikan Zakat Fitrah dapat ditunaikan,” katanya.

Dato’ Ahmad Hairi juga turut mengingatkan sesiapa yang didapati memungut Zakat Fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: