Majlis Penyerahan Al-Quran daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) kepada Pahang Medical Centre (PMC) oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YBRS Dr Asmadi Abdul Rahman di Pahang Medical Centre, hari ini.

MUIP DAN PMC BANTU PESAKIT BERIBADAH

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 3 DISEMBER 2020: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Pahang Medical Centre (PMC) berusaha menerapkan nilai-nilai keislaman di hospital terutama di kalangan pesakit supaya dapat terus beribadah secara konsisten meskipun terpaksa melalui prosedur perubatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya menyumbang sebanyak 100 naskah al-Quran dan 100 naskah Surah Yassin kepada pihak PMC bagi memberi kemudahan kepada pihak hospital terutama para pesakit yang menerima rawatan di PMC.

“Pihak hospital akan menempatkan al-Quran dan Yassin ini di dalam setiap wad dan pesakit boleh memanfaatkan waktu terluang ketika menerima rawatan.

“Selebihnya juga akan ditempatkan di lokasi yang bersesuaian supaya kakitangan yang bertugas juga dapat membaca al-Quran dan Yasin pada masa yang terluang,” katanya.

Seorang pesakit di Pahang Medical Centre menerima al-Quran sumbangan MUIP.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Naskah Al-Quran dan Surah Yassin di Pahang Medical Centre (PMC), di sini, hari ini.

Katanya, ini merupakan peranan dan tanggungjawab MUIP terhadap PMC yang merupakan satu-satunya hospital di bawah pentadbiran MUIP.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MUIP Holdings yang juga Pengerusi PMC, YH. Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz berkata, usaha ini dapat membantu rakyat yang memerlukan rawatan di samping menerapkan nilai-nilai Islam sepanjang proses rawatan.

Katanya, kitab suci al-Quran juga bersifat penawar yang dapat menyembuh pelbagai penyakit di samping melakukan rawatan secara biologikal.

“Sejajar dengan usaha tersebut, maka dengan adanya al-Quran di setiap bilik, para pesakit dapat mengambil peluang menambah ibadah dengan membaca al-Quran.

“Malah, di dalam setiap bilik dan wad juga ada disediakan set kelengkapan untuk bertayyamum bagi pesakit yang tidak dapat melakukan wudhuk atas faktor kesihatan bagi memudahkan mereka untuk bersolat dan mengaji,” katanya.

Pengarah Eksekutif PMC, YH. Dato’ Dr. Haji Abdul Razak Haji Abdullah berkata, di setiap bilik dan wad PMC telah disediakan pelbagai kelengkapan ibadah termasuklah peralatan tayyamum, sejadah dan telekung sebagai kemudahan kepada pesakit.

“Kami bersyukurlah kerana MUIP memberi sumbangan naskah al-Quran dan Surah Yassin ini untuk menambahkan lagi dakwah kepada pesakit-pesakit,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,332 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download