Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain

MUIP AGIH RM11.79 JUTA KEPADA GOLONGAN MEMERLUKAN SEMPENA RAMADAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (Praktikal) dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (Praktikal)

PEKAN, 26 MAC 2022 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan sebanyak RM11.79 juta kepada golongan memerlukan termasuklah 676 masjid seluruh Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, bantuan tersebut termasuklah agihan bantuan tahunan hari raya kepada penerima bantuan zakat bulanan melibatkan seramai 5,556 orang membabitkan peruntukan RM2.78 juta.

“Manakala bantuan bagi golongan asnaf dan fakir miskin pula berjumlah RM3.07 juta yang akan diberikan kepada 6,437 orang sementara 3,898 saudara muslim baharu pula turut menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan RM1.74 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang bagi Tahun 1443H/2022M di Dewan MUIP, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.

Sementara itu, 676 masjid seluruh Pahang yang menerima sumbangan Ramadan turut melibatkan tiga masjid IPTA iaitu Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan jumlah RM4.2 juta.

Dalam perkembangan lain, YH. Dato’ Ahmad Hairi berkata, MUIP mensasarkan kadar kutipan zakat fitrah pada tahun ini meningkat kepada RM7.5 juta berbanding RM6.6 juta tahun lalu.

Orang ramai boleh membuat bayaran zakat melalui dua kaedah iaitu melalui 930 Amil Zakat Fitrah yang telah ditauliah atau pun menggunakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian (internet) melalui capaian EZAKAT.MUIP.GOV.MY. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram