MPK TUTUP SEMENTARA OPERASI SEHINGGA 3 FEBRUARI INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 31 JANUARI 2021 : Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) ditutup sementara sehingga 3 Februari ini selepas beberapa kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata semua urusan secara fizikal ditangguhkan buat sementara waktu.

“Buat masa ini semua urusan secara fizikal ditangguhkan dan pejabat MPK juga ditutup sementara.

“Semua urusan boleh dilakukan secara atas talian dan pekerja juga diarahkan bekerja dari rumah buat masa ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata sekiranya orang ramai mempunyai sebarang urusan yang tidak dapat dilakukan secara atas talian, pihaknya meminta urusan tersebut ditangguh dahulu.

“Bagi urusan penting seperti rayuan, maklumat permohonan ditolak atau urusan lain yang tidak boleh dilakukan secara atas talian, orang ramai boleh menghubungi pegawai terlibat atau mengajukan pertanyaan melalui email.

“Bagi permohonan permit penghantar makanan pula yang tidak boleh dipohon melalui atas talian, mereka boleh menghubungi pegawai bertugas untuk urusan mengambil borang permohonan atau menghantar semula permohonan,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya akan menutup pejabat sehingga 3 Febuari namun masih menunggu arahan terkini yang akan diberitahu kelak.

“Ini kerana pemantauan akan dibuat setiap hari dan nasihat dari Pusat Kesihatan Daerah (PKD) serta arahan daripada YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak dari semasa ke semasa akan dipatuhi bagi pembukaan semula operasi MPK,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download