Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 1 DISEMBER 2020: Sebanyak 65 batang pokok rhu pantai atau Casuarina Equsetifolia ditanam di Pantai Kempadang di sini hasil inisiatif Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk pemuliharaan persisiran pantai dan daya tarikan pelancongan daerah ini.
Yang Dipertuanya, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, ia merupakan kesinambungan program menghijaukan dan mengindahkan pantai seterusnya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kepentingan hutan pesisiran pantai.
“Kita dapati apabila orang ramai datang berkelah, buat aktiviti bersama keluarga terdapat antaranya tidak menghargai tumbuhan di kawasan pantai ini malah bertindak membakar pangkal-pangkal pokok. Ia dapat dilihat di sepanjang persisiran pantai, dari Kawasan Pantai Chendor, Cherating, Kempadang hingga ke Pantai Sepat yang banyak yang mati dan musnah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab.
“Kita harap ada kesedaran, kita memiliki pantai yang cantik tetapi jika keindahan ini dimusnahkan oleh pengunjung ia adalah kerugian yang besar, kita berbelanja besar untuk tujuan ini. MPK bersama rakan strategik seperti Jabatan Hutan akan melaksanakan program ini (penanaman pokok) secara berterusan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penanaman pokok rhu di sini, hari ini.
Turut hadir sama, Setiausaha MPK, YH Dato’ Hajah Hamiza Hamzah.
Dalam pada itu, YH. Dato’ Hamdan turut menyatakan hasrat untuk mewujudkan kawasan indah seperti di Pantai Senok, Kelantan yang terkenal dengan kecantikan deretan pokok rhu pantai dan kayu putih sehingga digelar ‘Pulau Nami Malaysia’.
“Pokok-pokok yang ditanam adalah satu tarikan istimewa selain kepentingan kawalan iklim yang merangkumi peranan sebagai lindungan semulajadi dan zon penampan bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam iaitu sebagai benteng untuk memecah, menahan dan mengurangkan kesan pukulan ombak daripada laut,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru orang ramai yang datang ke kawasan pantai pada musim tengkujuh ini agar menjaga keselamatan masing-masing.
“Pihak MPK telah menaikkan bendera amaran di sepanjang pantai terutamanya di kawasan tumpuan, jadi saya juga berharap semua petugas seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan orang ramai peka dengan keadaan semasa kini.
“Saya juga berharap kita semua dapat menjaga diri dan keluarga masing-masing terutamanya pada musim tengkujuh dan air pasang besar… Banyak risiko wujud dari keadaan semasa ini memerlukan perhatian yang lebih serta sifat berjaga-jaga agar kita semua sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya. -PAHANGMEDIA
1,225 total views, 9 views today