Penguatkuasa MPK menutup sebuah premis yang gagal memperbaharui lesen perniagaan.

MPK TUTUP KEDAI CULAS PERBAHARUI LESEN PERNIAGAAN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 11 MAC 2020: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengambil tindakan menutup 316 buah premis perniagaan yang masih enggan memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Puan Norkamawati Kamal berkata, sehingga akhir Disember tahun lalu sebanyak 600 premis daripada 13,000 buah premis perniagaan di seluruh Kuantan dikesan masih tidak memperbaharui lesen perniagaan masing-masing.

“Pihak MPK telah memberi dua kali notis kepada semua pemilik premis terlibat dan hanya separuh daripada jumlah 600 premis itu tampil membayar lesen perniagaan setakat hari ini.

“Jadi hari ini kita telah mula menggerakkan operasi menyampaikan notis penutupan serta menutup premis perniagaan tidak berlesen di kawasan MPK,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui proses tersebut, premis perniagaan yang tidak berlesen atau gagal memperbaharui lesen perniagaan bagi tahun 2020 akan ditutup selaras peruntukan Seksyen 101 (1) (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Pemilik terlibat masih mempunyai tempoh selama 14 hari bagi menyelesaikan bayaran pembaharuan lesen perniagaan sebelum tindakan selanjutnya akan mula diambil pada 1 April depan.

“Pihak MPK akan melakukan semakan semula bagi memastikan setiap pemilik premis terlibat mempunyai masa serta peluang untuk berbuat demikian (bayar lesen),” katanya.

Menurut beliau, lebih RM6 juta bagi bayaran perbaharui lesen pernigaan tahun 2020 telah dikutip dan bakinya, kira-kira RM500,000 masih gagal dikutip ekoran sikap culas pemilik premis terlibat. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: