Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), YH Dato’ Hamdan Husin ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kuantan Ke Arah Bandaraya Pintar E-billing di Kompleks Ibu Pejabat MPK, di Kuantan, hari ini.

MPK PERKENAL SISTEM E-BILLING BAGI PERMUDAH URUSAN

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 11 Ogos 2020 – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memperkenalkan sistem e-billing dalam usaha menuju ke arah bandaraya.

Yang Dipertuanya, YH Dato’ Hamdan Husin berkata, perlaksanaan e-billing ini bertujuan mempermudahkan MPK menjalankan tugas dengan lebih mudah dan berkesan terutama dalam pengurusan sistem percukaian dan pembayaran yang melibatkan perkhidmatan oleh MPK.

“Ini bertujuan memudahkan masyarakat terutama bagi penghantaran notis peringatan berkenaan pembayaran yang perlu dilunaskan dengan MPK.

“Diharapkan dengan kemudahan ini akan memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk dan pada masa yang sama menerusi QR Code yang dilancarkan ini, orang ramai dapat mengemaskini data mereka bersama MPK bagi memudahkan penerimaan maklum balas dengan pihak MPK,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), YH Dato’ Hamdan Husin ketika melancarkan Kuantan Ke Arah Bandaraya Pintar E-billing di Kompleks Ibu Pejabat MPK, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kuantan Ke Arah Bandaraya Pintar E-billing di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini, hari ini.

Tambahnya, inisiatif MPK dalam melaksanakan e-billing ini adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 di mana kebanyakan urusan bersemuka perlu dikurangkan.

Beliau berkata, sistem e-billing ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan fasa pertama yang bermula serta-merta dan berakhir Disember tahun ini.

“Pada tahun 2021, sistem e-billing ini akan dilaksanakan sepenuhnya di mana tiada lagi penghantaran notis dan bil ke rumah-rumah sebaliknya digantikan dengan penghantaran menerusi atas talian (online) menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel,” katanya.

Pihak MPK akan mempergiatkan lagi usaha promosi dan publisiti sistem e-billing ini menerusi media sosial, akhbar arus perdana, jabatan-jabatan kerajaan dan juga di beberapa lokasi tumpuan ramai seperti masjid dan pusat pelancongan bagi memastikan sistem ini dapat dicapai dan diakses oleh masyarakat dengan lebih mudah.

Antara tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Kuantan Ke Arah Bandaraya Pintar E-billing di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di Kuantan, hari ini.

Beliau berharap, orang ramai dapat menggunakan sistem e-billing ini dengan mudah memandangkan kadar capaian penggunaan internet di daerah Kuantan kini mencapai 99 peratus.

Walau bagaimanapun katanya, bagi fasa pertama perlaksanaan e-billing ini, MPK akan terus memantau ke seluruh daerah Kuantan bagi memastikan kebolehcapaian akses internet adalah menyeluruh dengan kerjasama daripada agensi berkaitan.

Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif ini akan dapat menerima maklum balas yang baik daripada orang ramai khususnya penduduk di daerah Kuantan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: