Yang Dipertua MPK, Dato' Hamdan Hussin (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. En. Abd Rahim Muda ketika merasmikan Program Gotong Royong Perdana Gugusan Sungai Isap 2020 di Tapak Parkir Hadapan Masjid Al-Falah Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

MPK PASTIKAN PEMILIK PREMIS PATUH SOP PKPP

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 26 Julai 2020 – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bersama beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) komited mengadakan operasi penguatkuasaan pada setiap hari di sekitar bandar Kuantan.

Operasi terbabit dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menguatkuasakan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 di daerah itu.

Yang Dipertua (YDP) MPK, Dato’ Hamdan Hussin berkata, sehingga kini sebanyak 1,500 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kompaun ini dikenakan bagi memberi kesedaran dengan kepentingan kepada pematuhan SOP yang telah ditetapkan serta garis panduan menjalankan operasi premis masing-masing,” katanya.

Yang Dipertua MPK, YH Dato’ Hamdan Hussin (kanan) melihat Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman melakukan semburan kabut pada Majlis Perasmian Program Gotong Royong Perdana Gugusan Sungai Isap 2020 di Tapak Parkir Hadapan Masjid Al-Falah Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Perasmian Program Gotong Royong Perdana Gugusan Sungai Isap 2020 di Tapak Parkir Hadapan Masjid Al-Falah Sungai Isap, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah wakil Menteri Besar Pahang iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. En. Abd Rahim Muda dan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Haji Bahari Dto’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik saranan yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos depan.

Yang Dipertua MPK, YH Dato’ Hamdan Hussin (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazali Sulaiman pada Majlis Perasmian Program Gotong Royong Perdana Gugusan Sungai Isap 2020 di Tapak Parkir Hadapan Masjid Al-Falah Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

Jelasnya, tindakan itu sangat baik bagi memastikan keberkesanan usaha dalam mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 di daerah ini.

“Sebenarnya kita telah pun menguatkuasakan arahan pemakaian pelitup muka terhadap premis-premis di daerah Kuantan di mana pemilik premis berkenaan adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelanggan mereka dengan memastikan kesemua pelanggan yang masuk ke premis mematuhi SOP dan memakai pelitup muka, diambil suhu badan dan memakai sanitiser,” katanya.

Tambahnya, sekiranya pemilik premis gagal berbuat demikian mereka akan dikenakan kompaun dan tindakan serius akan diambil terhadap mereka. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: