Kakitangan MPK menunjukkan saman yang tidak dibayar oleh pengguna parkir di bandar Kuantan.

MPK HANYA MAHU DIDIK PENGGUNA ENGGAN BUAT BAYARAN PARKIR

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abdul Rahim

KUANTAN, 4 JUN 2020: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bertanggungjawab untuk mendidik orang ramai supaya tahu peranan mereka untuk membuat bayaran parkir setiap kali meletakkan kenderaan di petak parkir yang disediakan pihaknya.

Yang Dipertua MPK, YH Dato’ Hamdan Hussin berkata, mereka yang gagal berbuat demikian pasti akan dikenakan kompaun sebagaimana yang telah ditetapkan, namun MPK lebih tegas sejak melaksanakan kadar kompaun baharu bermula 1 Jun lalu.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa diambil memandangkan sebelum ini orang ramai hanya memandang mudah terhadap kompaun yang dikenakan terhadap mereka.

Yang Dipertua MPK, YH Dato’ Hamdan Hussin.

Menurutnya, jumlah tersebut dilaksanakan bagi memastikan orang ramai terutama penduduk Kuantan memandang lebih serius terhadap tindakan tegas yang dikenakan oleh MPK sekiranya mereka gagal mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Jika sebelum ini, jumlahnya lebih kecil seperti RM10 dan RM15 bagi tempoh 7 hari dan 14 hari, tetapi kini MPK menetapkan bayaran kompaun adalah RM30 dalam tempoh 30 hari sebelum digandakan kepada RM300 selepas 30 hari dari tarikh dikompaun.

“Bagi mereka yang masih gagal melangsaikan bayaran tersebut tindakan mahkamah akan dikenakan,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu yang timbul berhubung kenaikan kadar bayaran kompaun tempat letak kenderaan MPK.

YH Dato’ Hamdan juga berkata, kadar tersebut hanya dikenakan kepada mereka yang gagal membuat bayaran parker, namun tidak mendatangkan kesan langsung kepada mereka yang patuh terhadap undang-undang.

Menurutnya, orang ramai juga tidak perlu beralasan untuk tidak membuat bayaran parkir kerana MPK telah menyediakan dua kaedah bayaran iaitu dengan menggunakan kad gores yang dijual menerusi 503 ejen di seluruh Kuantan.

Aplikasi PahangGo yang boleh digunakan untuk membayar parkir.

Kaedah kedua pula, orang ramai boleh membuat bayaran parkir menerusi atas talian menggunakan aplikasi PahangGo yang diperkenalkan sejak Disember 2019 lagi.

Beliau turut menjelaskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MPK tidak mengenakan sebarang kompaun parkir kepada pengguna, sebaliknya mereka mula menjalankan tugas sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerana sektor awam dan beberapa premis perniagaan sudah mula beroperasi.

“Saya berharap orang ramai tidak mudah melatah dengan tindakan tersebut kerana ia bertujuan mendidik masyarakat supaya tidak memandang remeh terhadap tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan kelestarian bandar Kuantan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, YH Dato’ Hamdan berkata, MPK masih mengekalkan kadar bayaran parkir sejak dinaikkan daripada 45 sen kepada 65 sen sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya, kadar tersebut adalah antara terendah berbanding beberapa negeri lain namun masih terdapat segelintir orang ramai yang gagal berbuat demikian.

“Jika dihitung jumlah bayaran tertunggak parkir kenderaan MPK kini mencecah RM10.3 juta. Jumlah ini termasuklah seorang pengguna yang gagal melunaskan bayaran selama tempoh 10 tahun dengan 468 kompaun sebanyak RM14,040,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: