KUANTAN, 25 SEPTEMBER 2020: Mahkamah Tinggi Kuantan yang bersidang pada hari ini menolak permohonan Semakan Kehakiman di Bawah Aturan 53, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk membatalkan arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pahang berikutan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkenaan dengan syarat penggunaan tulisan jawi di semua PREMIS perniagaan dalam daerah Kuantan.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Puan Norkamawati Kamal berkata, permohonan telah dikemukakan oleh pemohon-pemohon yang diwakili oleh Tetuan Gunaseelan & Associates meminta pembatalan syarat penggunaan tulisan jawi di semua papan iklan premis perniagaan dalam kawasan MPK, manakala pihak responden pertama, MPK diwakili oleh Tetuan Rosnah Faisal & Associates serta responden kedua, Kerajaan Negeri Pahang diwakili oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.
“Sehubungan dengan itu, keputusan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang dan syarat permohonan lesen premis perniagaan yang ditetapkan oleh MPK berkenaan dengan syarat penggunaan tulisan jawi adalah sah dan terpakai dari segi undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.-PAHANGMEDIA