MOHON RAKYAT DOA UNTUK YANG DI-PERTUAN AGONG – PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib                                                                                   
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 27 FEBRUARI 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta umat Islam di negeri ini mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan sekalian Raja-Raja Melayu supaya diberi pembukaan serta kebijaksanaan daripada Allah SWT untuk membuat keputusan yang terbaik demi demi agama, rakyat dan tanah air.

Baginda bertitah, ia sempena kelebihan di bulan Rejab ini,  bulan yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW ‘adalah bulan Allah SWT ‘, iaitu bulan yang didalamnya penuh dengan rahmat kasih sayang dan keampunan daripada Robbul Jalil.

“Istimewanya lagi pada malam Jumaat ini, penghulu bagi segala hari… Hari yang harap dimakbulkan oleh Allah SWT daripada doa sekalian hamba-hambaNya.

“Dengan ini memohon sekalian umat Islam di Negeri Pahang khasnya, mendoakan ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan sekalian Raja-Raja Melayu agar diberi pembukaan serta kebijaksanaan daripada Allah SWT untuk membuat keputusan yang terbaik demi agama dan rakyat di tanah air yang kita cintai ini.

“Mudah-mudahan Kebawah Duli-Duli Tuanku sentiasa berada dibawah perlindungan dan pemeliharaan Allah SWT dengan rahmat dan kasih sayangNya,” titah baginda melalui laman sosial Instagram peribadi di sini hari ini.

Justeru semua masjid-masjid di negeri ini mengadakan Solat Hajat dan Doa Selamat pada malam ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download