Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 30 JUN 2020: Dengan tinggal tiga hari sebelum hari pengundian Sabtu ini, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Negeri (DN) Chini, Encik Mohd Sharim Md. Zain akan melakukan ‘pecutan akhir’ untuk meraih keyakinan pengundi.
Malah ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) DN Chini di Balai Polis Chini di sini, hari ini, beliau mahu melipatgandakan usaha bertemu pengundi sebaik mungkin bagi memenangi hati mereka.
Katanya, dalam tempoh tiga hari kempen ini, beliau akan lebih memfokuskan untuk bertemu lebih ramai golongan belia bagi memberi keyakinan kepada mereka untuk mengundi BN.
“Selepas ini saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi muda dan orang supaya dapat kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ahli Dewan Negeri (ADN) mereka. Saya akan menyertai lebih banyak aktiviti dan program belia selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sharim berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan pengundian awal hari ini dan berharap pada hari pengundian biasa nanti, suasananya sama.
“Saya harapkan semua pengundi dapat mengikuti segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Untuk rekod, pengundi muda yang berusia 39 tahun ke bawa meliputi 55.96 peratus daripada jumlah pengundi Chini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini, Pahang pada 4 Julai ini manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun. – PAHANGMEDIA