LIPIS, 28 FEBRUARI 2020: Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini turut menyertai misi pencarian dua beradik yang dikhuatiri lemas ketika beriadah di Taman Rekreasi Kampung Tanjung Gahai di sini, petang semalam.
Berdasarkan perkongsian di laman Facebook rasmi miliknya, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menaiki bot bersama-sama anggota mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari kedua-dua mangsa yang hilang itu.
Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, berdasarkan laporan, pada sekitar jam 4.00 petang lima orang remaja dan kanak-kanak telah turun ke Sungai Jelai untuk mandi dan kira-kira 4.30 petang, dua daripada mereka hanyut dibawa arus sungai.
“Tindakan telah diambil oleh pasukan penyelamat termasuk bomba, polis, JKKK Tanjung Gahai dan juga penduduk setempat bagi membantu mencari mangsa.
“Marilah kita berdoa semoga Allah SWT memberikan kemudahan dalam urusan pencarian mangsa di Sungai Jelai ini,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Nur Hidayah Mohd Rosli, 19, dan adiknya, Siti Suhaida, 15, dari Perumahan Agropolitan Gahai, Kuala Lipis dikatakan mandi-manda di sungai berkenaan bersama tiga lagi adik beradik mereka.
Mangsa pada mulanya bermain-main di gigi air dan seterusnya bergerak ke tengah sungai serta terus dibawa arus sungai. – PAHANGMEDIA