Oleh: Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 14 OKTOBER 2020 : Kerajaan Pahang mengumumkan pelantikan YBrs. Ir. Hafizah Zakaria sebagai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang yang baharu.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mewakili Kerajaan Pahang menyerahkan surat penempatan tersebut kepada Puan Hafizah dalam sebuah majlis di Pejabat Daerah dan Tanah Bentong, di sini hari ini.
Dalam majlis yang sama, Kerajaan Pahang turut memperkenalkan lapan pegawai Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang yang ditempatkan ke jawatan baharu.
Mereka adalah Puan YM Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin yang sebelum ini merupakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dilantik sebagai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang.
Sementara itu, Puan Rosmelah Awang ditempatkan sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Temerloh selepas berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).
Bagi Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang yang baharu adalah Encik Azrul Sharill Ahmad yang sebelum ini merupakan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) PDT Bentong.
Turut ditempatkan ke jawatan baharu adalah Puan Halimah Tus Saadiah Mohd Halim sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) PDT Jerantut; Encik Mohd Yusri Mohd Nor sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) PDT Kuantan dan Encik Azmil Hadid Maznan sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) PDT Bentong.
Selain itu, Encik Rizal Mustafa dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) PDT Lipis, manakala Puan Halizah Osman dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) PDT Pekan.
Turut hadir dalam Majlis Penyampaian Surat Penempatan dan Sesi Memperkenalkan Pegawai-pegawai Yang Bertukar adalah YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang turut menyerahkan van jenis pelbagai guna kepada tiga buah sekolah agama iaitu SMA Al-Falah Batu Talam, SMA Al-Basriah Kuala Tembeling, dan SMA Al-Ikhsan Kuantan dalam majlis yang sama. -PAHANGMEDIA