Allahyarham Mohd Zuhairi Abdullah dan Allahyarhamah Julayha Kudus.

MENTERI BESAR PAHANG ZAHIR UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA KAKITANGAN PKD PEKAN

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 7 DISEMBER 2020: Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada dua keluarga kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Pekan-Rompin dekat Tanjung Batu, Pekan hari ini.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam satu kenyataan berkata, beliau mendapat perkhabaran sedih mengenai sebuah kenderaan PKD Pekan telah terlibat dalam satu kemalangan pagi tadi ketika dalam perjalanan menghantar Pasukan Bergerak Orang Asli, PKD Pekan ke perkampungan Orang Asli untuk melakukan lawatan pemeriksaan kesihatan berkala.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Kemalangan tersebut telah meragut nyawa pemandu dan seorang jururawat, manakala seorang pegawai perubatan telah dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di Pekan.

“Saya ucapkan salam takziah kepada ahli keluarga Arwah dan tabah menghadapi dugaan ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.

Kejadian jam 10.20 pagi itu menyebabkan pemandu, Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan jururawat, Julayha Kudus, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang dinaiki dirempuh sebuah lori tangki.

Keadaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang dinaiki dua kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan selepas dirempuh sebuah sebuah lori tangki di Kilometer 32, Jalan Pekan-Rompin dekat Tanjung Batu, Pekan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dalam kenyataan di Facebooknya turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang terkorban ketika melaksanakan tugas ini.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,368 total views,  12 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download