Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 13 JANUARI 2021: Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini membuat pelepasan Sukarelawan Pahang bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dengan bencana itu di negeri ni.
Sukarelawan Pahang itu terdiri daripada Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Skuad Bencana Negeri Pahang dan Sukarelawan Penjawat Awam Negeri Pahang.
Dalam majlis itu YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyerahkan 50 ‘water jet’ sumbangan Kerajaan Pahang kepada daerah terjejas bencana banjir.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang ketika berucap pada majlis itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit untuk menjadi Sukarelawan Pahang ini.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantu mangsa banjir yang mana agak pelik daripada biasa ini.
“Sukarelawan Pahang ini induknya, tetapi kita boleh lagi fokus kluster tertentu contohnya kluster penjawat awam, pelancongan, perumahan dan pertanian.
“Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk membantu mangsa banjir. Kita harap semua terus berdoa supaya tidak berlaku gelombang kedua banjir di negeri Pahang,” katanya dalam majlis yang diadakan di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Barisan EXCO Kerajaan Pahang dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Pahang.
Sebelum ini, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam satu kenyataan media berkata, seramai lebih 10,000 sukarelawan telah digerakkan di seluruh Pahang bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terkesan akibat dilanda bencana itu ketika ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sukarelawan itu adalah dalam kalangan ahli-ahli badan-badan bukan Kerajaan (NGO) seperti Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Majlis Pembangunan Wanita Negeri Pahang (MPWNP), Sukarelawan Tunas Warisan (STW), serta ahli-ahli UMNO Bahagian-Bahagian termasuk ketiga-tiga sayapnya iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.
Beliau berkata, ini termasuklah juga Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) dan Jawatankuasa Pembangunan Orang Asli (JPOA). – PAHANGMEDIA
258 total views, 12 views today