YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail tersenyum ketika menerima replika kunci daripada Encik Baidzawi Che Mat.

MENARA KUANTAN 188 AKAN DIBUKA TAHUN INI

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 26 FEBRUARI 2020: Pemandangan indah bandar Kuantan serta alam semulajadi bakal dapat disaksikan di Menara Kuantan 188 yang akan dibuka kepada orang ramai pada tahun ini.

Projek ikonik oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ini merupakan sebahagian daripada siri pembangunan untuk memperkukuhkan lagi projek Kuantan Waterfront yang terletak di dalam pekarangan Laman Teruntum.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, waktu pembukaannya juga bertepatan dengan pengisytiharan Kuantan sebagai sebuah bandaraya tidak lama lagi.

“Pembinaan projek ‘Kuantan 188’ ini sememangnya selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan lagi Negeri Pahang sebagai destinasi pelancongan unggul dan mampan, serta merancakkan lagi kepesatan Kuantan sebagai sebuah bandaraya.

“Memiliki ketinggian melebihi 180 meter, ‘Kuantan 188’ merupakan menara tinjau yang tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan serta daerah Mersing, Johor dan juga menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur,” katanya ketika majlis penyerahan menara berkenaan oleh ECERDC kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini hari ini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Encik Baidzawi Che Mat serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Menara Kuantan 188 merupakan Mercu tanda baharu dan kebanggaan rakyat Pahang kerana menjadi menara tertinggi di Pantai Timur.

Dalam pada itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kepelbagaian ciri dan daya tarikan pelancongan seperti bandar dan pesisiran pantai, keunikan hutan hujan, keindahan pulau dan kekayaan kesenian, budaya dan warisan telah membolehkan sektor pelancongan menjadi antara sumber penjana ekonomi di negeri ini.

“Berdasarkan kelebihan-kelebihan tersebut, pada tahun 2018 Pahang telah diumumkan sebagai destinasi pelancongan paling popular di Malaysia oleh Kementerian Pelancongan.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri sememangnya komited untuk mengekalkan trend ini dan meningkatkan usaha untuk merancakkan lagi industri pelancongan di Negeri Pahang terutamanya menerusi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang akan mencipta destinasi-destinasi pelancongan yang ikonik,” katanya.

Tambahnya, secara tidak langsung ianya akan membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan berdekatan dan menggalakkan pelaburan dari sektor swasta ke bandaraya ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download