Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

MEMARTABATKAN TULISAN JAWI DEMI PENYATUAN ANAK NEGERI PAHANG

KUANTAN, 25 SEPTEMBER 2020: Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman yang telah dibuat oleh tiga peniaga yang ingkar untuk meletakkan tulisan Jawi di papan tanda iklan mereka.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerusi akaun Facebooknya berkata, Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited dalam memelihara adat budaya warisan negeri ini, termasuk dalam usaha untuk memartabatkan semula tulisan jawi.

Beliau berkata, bermula pada 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri Pahang telah menguatkuasakan pelaksanaan papan tanda bertulisan jawi di kesemua premis-premis perniagaan negeri ini.

Menurutnya, peraturan yang berdasarkan peruntukkan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini adalah untuk memastikan tulisan jawi yang merupakan tulisan warisan terus terpelihara dan dapat mendidik generasi masa hadapan, untuk mencintai adat dan budaya yang semakin lama terhakis dek kerana globalisasi dan arus permodenan.

“Pelaksanaan untuk memaparkan tulisan jawi ini juga merupakan satu tindakan bagi menyahut titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 November 2018, agar tulisan warisan ini dipaparkan di setiap premis di negeri ini untuk dimartabatkan semula,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan Media Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berkenaan MPK dibenar mensyaratkan tulisan jawi di premis perniagaan hari ini.

Beliau berkata, menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dijangkakan pada penghujung abad ini terdapat lebih 6,000 bahasa dan tulisan dari seluruh pelusuk dunia akan pupus sekiranya tiada tindakan yang bersepadu dilaksanakan untuk memelihara khazanah budaya tersebut.

“Kita tidak mahu perkara ini terjadi dengan tulisan jawi yang telah menjadi identiti bukan sahaja kepada bangsa Melayu dan agama Islam di nusantara, tetapi sebagai budaya sejagat yang pada suatu masa dahulu pernah dikongsi oleh semua kaum di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau lagi, oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur akan terus melaksanakan peraturan ini bagi memastikan tulisan jawi terus mekar dalam ingatan anak-anak Pahang tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

“Kita perlu melihat impak positif, yang mana dengan adanya peraturan ini, ia akan dapat membuka ruang bagi seluruh warga Pahang untuk mengenal (atau mengenal semula) tulisan yang merupakan khazanah berharga ini.

“Kepada seluruh anak-anak Negeri Pahang Darul Makmur tidak kira bangsa, agama dan keturunan, pelihara dan sayangilah tulisan jawi ini. Jangan dibiarkan tulisan warisan yang bersejarah ini terus pupus ditelan zaman,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: