MB PAHANG DIANUGERAHI DATUK SERI UTAMA DARIPADA KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

KUANTAN, 1 FEBRUARI 2021: Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail antara enam individu yang dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 335 penerima.

Turut menerima Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah adalah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman Haji Abbas; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin; isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, YABhg. Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Ragad Kurdi Taib; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Menteri Kewangan, YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada tahun ini, seramai enam enam individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Pertama iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah, 24 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah dan 81 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.

Seterusnya, 49 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah , 76 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah, 31 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah dan 68 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah.

Tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik COVID-19 dan akan dimaklumkan kepada para penerima.

Walaupun Istiadat belum diadakan, selaras dengan peruntukan di bawah Statut Darjah Yang Mulia Mahkota Wilayah, Ahli-Ahli Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, S.U.M.W., boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama “Datuk Seri Utama’ sebelum nama mereka.

Wanita, yang suami mereka telah dikurniai Pangkat Darjah Kebesaran ini boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama “Datin Seri Utama” sebelum nama mereka.

Sementara itu, bagi Ahli-Ahli Darjah Kebesaran Pangkat Kedua, S.M.W., mereka boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama “Datuk Seri’ sebelum nama mereka. Wanita, yang suami mereka telah dikurniai Pangkat Darjah Kebesaran ini boleh pada setiap masa memiliki, menggunakan dan menikmati gelaran dan nama “Datin Seri” sebelum nama mereka.

Kementerian Wilayah Persekutuan mengucapkan tahniah dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan bakti yang disumbangkan oleh semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021.- PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download