Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan kepada masyakat Orang Asli yang tejejas banjir, semalam.

MASYARAKAT ORANG ASLI TERJEJAS BANJIR TERIMA SUMBANGAN

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 22 JANUARI 2021: Seramai 31 mangsa banjir di kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Runchang di sini menerima sumbangan daripada Kerajaan Pahang, Ahli Parlimen Pekan dan Yayasan Mercy Malaysia, semalam.

Majlis penyampaian sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Pada majlis yang sama juga, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut menyampaikan sumbangan 513 kampit beras kepada penduduk di kampung berkenaan.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin ketika berucap pada majlis berkenaan mengingatkan semua penduduk bahawa pada hari ini Kerajaan akan melakukan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 di Negeri Pahang.

“Oleh itu, saya menyeru semua penduduk di Bebar termasuk di kalangan masyarakat Orang Asli sentiasa bersatu padu, bekerjasama dan mematuhi segala SOP dengan serius agar kesusahan akibat COVID-19 dan banjir yang dihadapi kini dapat diatasi bersama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang ditunjangi Barisan Nasional (BN) pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail akan menubuhkan Perbadanan Orang Asli Negeri Pahang tidak lama lagi.

“Perkara ini telah dijelaskan oleh YAB Menteri Besar pada Pembentangan Belanjawan 2021 sebelum ini. Ia bertujuan memastikan nasib dan masa hadapan Orang Asli terus terjamin serta tidak ketinggalan dalam segala pembangunan yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Maka saya menyeru semua masyarakat Orang Asli untuk terus bersama-sama Kerajaan Negeri demi masa hadapan yang lebih gemilang dan berjaya kerana kerajaan ini amat mantap serta kukuh malah terbukti berterusan membela nasib rakyat di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download