Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato' Sri Dr. Abdul Rahman Osman.

MASJID PERLU SEDIA SANITIZER DAN SABUN UNTUK KEPERLUAN JEMAAH

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 13 MAC 2020:  Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman meminta agar semua masjid di negeri ini menyediakan sanitizer dan sabun bagi kegunaan jemaah.

Katanya, ketika negara diuji dengan wabak Covid-19, orang ramai terutama jemaah masjid perlu menitikberatkan penjagaan kebersihan bagi memastikan diri tidak dijangkiti wabak berkenaan.

“Saya meminta agar masjid di negeri ini dapat menyediakan keperluan asas seperti sanitizer dan sabun sebagai usaha mencegah penularan wabak Covid-19 ini kerana ia dapat memudaratkan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati jemaah khususnya muslimah agar membawa peralatan solat sendiri dan mengelak daripada berkongsi peralatan solat yang disediakan di ruang solat.

“Kita harus mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini dengan membawa keperluan solat masing-masing dari rumah seperti telekung dan sejadah bagi mengelak jangkitan wabak berkenaan.

“Selain elak berkongsi keperluan solat, jemaah juga perlu mengelak daripada bersentuhan dengan jemaah lain seperti bersalaman,” katanya.

Tambahnya, mana-mana jemaah yang merasa tidak sihat perlulah berehat di rumah bagi mengelak jangkitan kepada jemaah lain.

Menjawab keraguan orang ramai berhubung penggunaan sanitizer ketika berada dalam keadaan wuduk dan ingin bersolat, beliau menjelaskan, tiada sebarang halangan untuk menggunakan sanitizer dan tidak membatalkan wuduk atau pun solat.

“Sanitizer sememangnya mengandungi alkohol tetapi ia bukan daripada arak jadi tiada keraguan sekiranya dibawa solat,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: