KUANTAN, 28 JANUARI 2021: Masalah hakisan pantai yang berlaku di 10 lokasi di negeri ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, setakat ini terdapat 10 lokasi tepi pantai yang mengalami hakisan iaitu antara pantai dari sempadan Terengganu ke sempadan Johor.
“Kaedah ‘rock reverment’ akan digunakan untuk memapan ombak agar tidak terus menghakis pantai,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Beliau sebelum ini mengadakan lawatan ke Pantai Kempadang di sini untuk melihat sendiri hakisan pantai di pantai peranginan itu.
Turut hadir, Pengurus Besar Tourism Pahang, YH. Dato’ Ishak Mokhtar dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, Tuan Haji Mohd Sani Mat Daud.
Jelasnya beliau lagi, bagi membina satu kilometer ‘rock reverment’, pihak berwajib memerlukan RM10 juta. – PAHANGMEDIA