Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mengadakan lawatan tapak ke Projek ORS Loji Rawatan Air Chini.

MASALAH GANGGUAN BEKALAN AIR DI CHINI BERAKHIR

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

PEKAN: Masalah gangguan bekalan air di kawasan Dewan Negeri Chini yang sebelum ini disebabkan kemerosotan kuantiti sumber air mentah akibat musim kemarau bakal berakhir dengan Pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga di sini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, untuk tujuan itu, Kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM18 juta untuk membina kolam takungan berkenaan.

“Bagaimanapun peruntukan RM18 juta itu hanya boleh membina saiz ORS bagi menampung bekalan air selama 11 hari sahaja semasa musim kemarau.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menunjukkan pelan Projek ORS yang akan dilaksnaakan Loji Rawatan Air Chini.

“Namun saya meminta supaya membina ORS yang saiznya boleh menampung bekalan air hingga 22 hari semasa musim kemarau. Pengerusi FELDA yang turut hadir bersetuju untuk usahakan dengan peruntukan yang lebih ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan tapak ke Projek ORS Loji Rawatan Air Chini di sini hari ini.

Turut hadir, YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi FELDA, YB Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau berkata, usaha untuk mendapatkan peruntukan RM18 juta ini telah dilakukan sejak tahun 2017 dan berjaya dipercepatkan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Kelewatan sebenarnya berlaku akibat unsur-unsur negatif oleh Kerajaan Persekutuan 22 bulan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan Negeri sangat mengambil berat terhadap permasalahan yang dialami oleh rakyat di negeri Pahang termasuklah berkaitan pembekalan air terawat,” katanya.

Katanya lagi, objektif utama pelaksanaan projek ini ialah untuk mengatasi masalah sumber bekalan air mentah yang sering berlaku di kawasan ini khususnya, mengalami musim panas dan kering serta isu taburan hujan yang rendah dan kurang.

“Selain itu, ORS ini juga dapat berfungsi sebagai pra-rawatan untuk memastikan kualiti air mentah yang lebih baik, bertepatan dengan kualiti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membekalkan air bersih yang terawat kepada rakyat.

“Projek pembinaan ORS ini dijangka bermula pada September 2020 ini dan proses pembinaan mengambil masa selama 12 bulan. Proses panggilan tender akan dibuat pada bulan Jun 2020 ini juga oleh pihak FELDA,” katanya.

Katanya, dengan siapnya projek ORS ini nanti, ia akan memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk di sekitar FELDA Chini, Paloh Hinai, Kampung Mambang, Kampung Padang Rumbia dan Gumum.

“Kerajaan Negeri berharap, projek ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan rakyat yang terkesan dengan masalah air ini yang telah Kerajaan Negeri perjuangkan termasuk terutamanya oleh bekas wakil rakyat kawasan ini, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun sejak tahun 2017 lagi dapat kembali menikmati bekalan air bersih yang terawat dengan sewajarnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download