Cik Nurliana Muhammad, 31, (kiri) yang dianugerahkan johan pada Anugerah Perdana Belia Negara di peringkat negeri dan kebangsaan pada tahun ini.

MASALAH BELIA JADI INSPIRASI UNTUK MEMBANTU

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 3 NOVEMBER 2020: Membesar dalam persekitaran masyarakat yang ‘dihuni’ aura negatif seperti keluarga yang bercerai berai, terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta gejala sosial berleluasa memberi inspirasi buat Cik Nurliana Muhammad, 31, membantu golongan belia di sekelilingnya.

Bagi beliawanis Persatuan Kelab- kelab Belia Malaysia (MAYC) Pahang ini, berkawan dengan ‘golongan’ tersebut menyedarkan dirinya bahawa mereka perlu dibawa kehadapan dan dibantu untuk keluar dari kehidupan hitam itu.

Ia juga telah menjadi inspirasi jitu di dalam diri yang mengangkatnya sebagai johan pada Anugerah Perdana Belia Negara di peringkat negeri dan kebangsaan pada tahun ini.

Beliau yang juga Ketua Serikandi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Pahang berkata, ia adalah pengiktirafan tertinggi buat dirinya sepanjang 18 tahun terlibat sebagai sukarelawan.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik ini, penganugerahan itu sangat bermakna untuk insan kecil sepertinya dan berazam untuk terus membantu dan memperkasakan golongan belia sebagai usahawan dengan mengurangkan pengangguran.

“Ini impian saya (untuk menang anugerah belia) sejak awal penglibatan dan Alhamdulillah, mimpi saya telah tercapai dan sekaligus memberi motivasi untuk terus menyumbang kepada negara kita.

“Kemenangan di peringkat kebangsaan adalah hadiah yang mahu saya berikan kepada Pahang sebagai inspirasi kepada bukan sahaja belia Pahang tetapi belia di seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya majlis Anugerah Perdana Belia Negara 2020 negeri Pahang di Dewan Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Majlis perasmian dan penganugerahan itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, 31, berkata, anugerah tempat pertama dalam kategori individu lelaki yang turut dimenangi di peringkat negeri dan kebangsaan memberi semangat kepada dirinya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Menurutnya, dia tidak menyangkakan penyertaan dalam pertandingan itu memberi rezeki apabila mampu membanggakan negeri Pahang.

“Saya sekadar mencuba nasib… Terpilih untuk menang atau tidak itu soal lain kerana calon yang bertanding di peringkat kebangsaan hebat- hebat belaka dan ada antara mereka juara di peringkat negeri.

“Tapi Alhamdulillah, rezeki itu berpihak saya dan Pahang ada tiga wakil daripada belia menang (termasuk kategori Wanita dan Pertubuhan Belia),” katanya yang juga seorang peguam. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error