Anak kebanggaan Pahang, Maryam Muzamir, 12, sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya memenangi dua pingat emas dalam The 22nd Annual British Invention Show Awards 2022.

MARYAM ANAK PAHANG ULANGI KEJAYAAN, HARUMKAN NAMA MALAYSIA

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 5 OGOS 2022 : Anak kebanggaan Pahang, Maryam Muzamir, 12, sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya memenangi dua pingat emas dalam The 22nd Annual British Invention Show Awards 2022.

Pelajar tahun enam SK (P) Methodist Kuantan ini memenangi anugerah Double Gold Award dan Chairmans Special Recognition Award – Young Ambassador of Innovation dalam pertandingan reka cipta, inovasi dan teknologi paling berprestij dan paling lama di United Kingdom itu.

Untuk rekod, produk ciptaan Maryam iaitu YAM 2.0: Sustainable Livestock Feed juga sebelum ini telah merangkul 3 anugerah utama di International Invention Innovation Competition in Canada (iCAN) 2021.

Bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hassan yang dihubungi berkata, sebelum COVID-19, pertandingan ini diadakan secara fizikal di London namun selepas wabak berkenaan melanda, ia dijalankan di atas talian pada Mei lalu dan mereka menerima berita gembira berkenaan kejayaan Maryam pada bulan lepas.

Menurutnya, apa yang lebih mengharukan, Pengerusi British Inventors Society, Kane Kramer dalam emelnya menyatakan keputusan Maryam adalah sesuatu yang menakjubkan.

“Ini mungkin disebabkan Maryam memenangi anugerah utama pada usianya yang masih muda, dan juga terpaksa bersaing dengan peserta lebih dewasa dan berpengalaman dalam pertandingan kali ini,” katanya.

Pada kesempatan sama, Maryam ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya, guru-guru dan rakan-rakan di sekolahnya yang banyak memberikan sokongan dan galakan dalam minatnya dalam bidang inovasi ini.

“Tidak dilupakan juga Maryam menjunjung kasih di atas kurniaan KDYMM Pemangku Raja Pahang yang sebelum ini mencemar duli yang turut menzahirkan kata-kata semangat kepada Maryam dalam majlis mengadap baginda sebelum ini.

“Tidak lengkap juga jika penghargaan tidak diberikan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Yayasan Pahang yang telah memberikan sumbangan dan kata-kata semangat kepada Maryam di atas kejayaan Maryam sebelum ini,” katanya.

Tambah Maryam, beliau juga ingin berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri, kerana telah memberikan ucapan tahniah di atas kejayaannya sebelum ini di iCAN 2021. Ucapan ini baginya lebih manis kerana Maryam dan YAB PM berkongsi tempat kelahiran iaitu di daerah Temerloh.

“Maryam juga amat menghargai dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan ucapan terima kasih kepada Menteri KPDNHEP, Dato’ Seri Alexander kerana kementeriannya dan agensi di bawah beliau iaitu MyIPO telah menaja dan membantu Maryam untuk mendaftar paten di bawah harta intelek hasil ciptaan inovasi Maryam. Ini menjadikan hasil ciptaan Maryam lebih kuat dan mungkin menjadi faktor utama kejayaan Maryam di bis 2022 kali ini.

“Tidak dilupakan, sokongan dari Menteri MOSTI, Dato Seri Adham Baba, yang mana kementeriannya dan agensi di bawah beliau iaitu Yayasan Inovasi Malaysia yang telah memberi bantuan dan sokongan kepada Maryam,” akhirinya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram