Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Ihsan Bomba
BERA, 27 FEBRUARI 2020: Mayat seorang pemuda yang dilaporkan lemas selepas bot yang dinaikinya karam dekat Rumah Rakit Pam, Kampung Jelam Mengkarak di sini ditemui pagi tadi.
Mayat Muhammad Mahrun Zambri, 21, yang beralamat di Kampung Tanjung Kerayong Lebak, Temerloh ditemui anggota operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) kira-kira jam 9.33 pagi.
Mangsa dilaporkan lemas Selasa lalu selepas perahu yang dinaiki bersama beberapa rakannya karam.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan, mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi berkenaan disertai seramai 42 anggota daripada pelbagai agensi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu berlaku ketika mangsa menaiki perahu berkenaan bersama beberapa rakan lain.
Namun ketika sampai di tempat kejadian, perahu berkenaan karam namun rakan-rakannya berjaya menyelamatkan diri tetapi mangsa hilang dibawa arus deras. – PAHANGMEDIA