MANGSA MAUT AKIBAT COVID-19 DIKIRA SYAHID

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 27 MAC 2020: Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman menyifatkan mereka yang meninggal akibat musibah atau pun wabak sebagai Syahid Akhirat.

Katanya, mereka yang meninggal kerana wabak dianggap sebagai kecelakaan sebagaimana mereka yang meninggal akibat lemas kerana kesukaran yang mereka hadapi saat meninggal.

“Mereka yang mati dalam kecelakaan akan mendapat ganjaran dan pengampunan yang besar daripada Allah SWT dan dikira sebagai syahid akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua jenis kematian syahid, yang pertama ialah Syahid Dunia Akhirat di mana mereka meninggal sebagai pejuang di medan peperangan.

Manakala yang kedua ialah Syahid Akhirat yang meninggal kerana kecelakaan dan wabak seperti yang berlaku sekarang.

Jelasnya, syahid akhirat ini diringankan bagi mereka yang menghadapinya kerana ujian besar yang dihadapi.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Osman.

Mengulas cara pengurusan jenazah mereka yang meninggal akibat wabak Covid-19, beliau berkata, cara pengurusan tersebut dilakukan setelah mendapat nasihat dan pandangan daripada pakar perubatan demi kebaikan semua pihak dan dibenarkan oleh syarak.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan PKP supaya kekal berada di rumah masing-masing dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran Covid-19.

“Patuhlah kepada arahan kerajaan dan pihak berkuasa agar sentiasa berada di rumah masing-masing supaya wabak Covid-19 ini segera reda dan semua umat Islam dapat menyambut ketibaan Ramadan tidak lama lagi.

“Jika masih ingkar dan berdegil keadaan ini akan kekal sehingga Ramadan dan menghadkan aktiviti ibadah sepanjang bulan mulia itu nanti,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: