Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 15 JANUARI 2021: Mangsa banjir di daerah ini terus berkurangan kepada 7,498 mangsa daripada 2,061 keluarga setakat jam 11 pagi hari ini yang ditempatkan di 97 pusat pemindahan sementara di lima buah daerah.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding semalam iaitu seramai 9,222 orang daripada 2,510 keluarga ditempatkan di 119 PPS di lapan daerah.
Kesemua PPS di tiga buah daerah iaitu Lipis, Jerantut dan Raub ditutup pagi ini selepas banjir di daerah berkenaan pulih sepenuhnya.
Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Pekan menunjukkan jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan di PPS dengan iaitu seramai 3,305 orang daripada 929 keluarga yang dipindahkan di 37 PPS.
Ia diikuti daerah Maran dengan 1,811 mangsa daripada 507 keluarga dipindahkan di 27 PPS manakala Temerloh dengan 790 mangsa daripada 227 keluarga yang dipindahkan di 15 PPS.
Selain itu, daerah Bera mencatatkan 715 mangsa daripada 196 keluarga yang dipindahkan di lapan PPS, diikuti daerah Kuantan dengan 877 mangsa daripada 202 keluarga dipindahkan di sembilan PPS.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia semalam mengeluarkan kenyataan amaran cuaca buruk kini hanya tertumpu di kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga Sabtu ini 16 Januari 2021. – PAHANGMEDIA