MANGSA BANJIR DI PAHANG SEMAKIN BERKURANGAN

KUANTAN, 12 JANUARI 2021: Jumlah mangsa banjir di Pahang menunjukkan penurunan apabila seramai 18,939 mangsa daripada 5,209 keluarga ditempatkan di 176 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lapan daerah sehingga jam 5 petang tadi berbanding 20,673 mangsa ditempatkan di 203 PPS pada jam 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Temerloh masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Pahang di mana seramai 10,069 mangsa daripada 2,752 keluarga ditempatkan di 67 PPS, diikuti daerah Pekan dengan 3,128 mangsa daripada 889 keluarga ditempatkan di 37 PPS manakala Maran pula dengan 2,083 mangsa daripada 509 keluarga ditempatkan di 28 PPS.

Selain itu, daerah Bera memperlihatkan seramai 1,613 mangsa daripada 447 keluarga dipindahkan di 16 PPS, diikuti daerah Lipis dengan 942 mangsa daripada 259 dipindahkan di lapan PPS.

Di Kuantan pula seramai 749 mangsa daripada 163 keluarga masih lagi ditempatkan di lapan PPS, diikuti daerah Jerantut dengan 282 mangsa daripada 90 keluarga ditempatkan di lapan PPS dan akhir sekali daerah Raub dengan 73 mangsa daripada 19 keluarga masih lagi ditempatkan di empat PPS.

Pada jam 5 petang tadi juga, semua PPS di daerah Rompin telah ditutup memandahkan keadaan banjir yang sudah pulih dan kesemua mangsa dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, Kerajaan Pahang kini sedang menumpukan kepada usaha pemulihan pasca banjir dengan pelbagai bantuan sedang dihulurkan kepada mangsa yang kediaman mereka terjejas.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dalam satu temubual bersama Pahangfm pagi tadi menyatakan pasca banjir merupakan waktu yang paling kritikal untuk diatasi dan sebab itulah usaha-usaha bantuan perlu digerakkan dan disegerakan.

Beliau juga menyarankan mangsa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi wakil rakyat kawasan masing-masing, ketua komuniti, pejabat daerah dan sebagainya bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan segera. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 528 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download