Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
KUANTAN, 4 JANUARI 2021: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 14,936 mangsa membabitkan 3,852 keluarga sehingga jam 8 malam berbanding 10,467 mangsa daripada 3,263 keluarga tengah hari tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di 211 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan sembilan daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Maran, Rompin, Jerantut, Raub, Lipis, Bentong dan Pekan.
Berdasarkan laporan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Maran mencatatkan jumlah tertinggi pemindahan mangsa banjir dengan 4,483 mangsa membabitkan 1,119 keluarga dipindahkan ke 32 buah PPS.
Ia diikuti Kuantan seramai 3,473 mangsa membabitkan 944 keluarga dipindahkan ke 32 PPS, Jerantut seramai 1,884 mangsa daripada 422 keluarga ditempatkan di 35 PPS dan Raub seramai 1,688 mangsa membabitkan 477 keluarga ditempatkan di 46 PPS.
Daerah Lipis pula mencatatkan seramai 1,122 mangsa daripada 285 keluarga membabitkan 25 PPS, Temerloh 1,073 mangsa daripada 287 keluarga ditempatkan di 21 PPS dan di Rompin pula seramai 814 mangsa daripada 219 keluarga ditempatkan di 9 PPS.
Pekan pula mencatatkan seramai 201 mangsa membabikan 47 keluarga ditempatkan di tujuh PPS manakala di Bentong seramai 198 mangsa daripada 52 keluarga di empat PPS. – PAHANGMEDIA
7,979 total views, 3 views today