Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim
PEKAN, 14 MEI 2020: Kelulusan tanah lot bagi peserta rancangan tanah kelompok diharap dapat dimanfaat dengan baik sekaligus menaiktaraf kehidupan masing-masing.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek tanaman sawit yang diuruskan di bawah Felcra itu akan menjadi sumber pendapatan tambahan untuk menyara kehidupan selain dari pekerjaan lain yang dilakukan setiap peserta.
“Kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan rakyat termasuk menyediakan kemudahan yang menjadi punca pendapatan untuk menyara keluarga dan kehidupan. Paling penting jangan jual bantuan atau pemberian kerajaan.
“Peserta juga perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan mempelbagaikan penggunaan tanah tersebut selain tanaman utama (kelapa sawit) seperti buat tanaman kontan atau ternakan di tanah tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi cabutan undi lot Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Bukit Udang, Mukim Penyor melibatkan 97 orang peserta di Dewan JKKK Mambang di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Najib Tun Razak, YB. Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, barisan exco negeri Pahang serta wakil rakyat setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata Bagi RTK di sini (Mukim Penyor) adalah usaha bekas ADN Chini Allahyarham Abu Bakar Harun yang berusaha mendapatkan lot tanah berkenaan sejak ia diajukan pada tahun 2008 lagi.
“Bukan mudah untuk sampai ke hari ini…kita fahamlah banyak proses yang perlu dilalui. Selepas proses berkaitan selesai, jadi hari ini kita serahkan,” katanya. -PAHANG MEDIA