MAKLUM BALAS MENGENAI BANTAHAN PENDUDUK EKORAN AKTIVITI PEMBALAKAN SUNGAI GAPOI DI BENTONG

KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2020: Susulan bantahan penduduk mengenai aktiviti pembalakan di kawasan Tanah Kerajaan Sungai Gapoi, Bentong baru-baru ini, tinjauan mendapati kawasan pembalakan terlibat ialah kawasan Tanah Kerajaan seluas 674.9 hektar yang telah Kerajaan Negeri luluskan sejak 2015 kepada Syarikat Sri Jengka Sdn. Bhd. untuk projek pertanian kelapa sawit berdasarkan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) bil. ke-7/2015 bertarikh 25 Februari 2015.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjelaskan, aktiviti pembalakan kemudiannya diluluskan oleh JPNP melalui kelulusan secara dasar pada tahun 2013 dan MMK pada tahun 2015 melibatkan empat lesen berkeluasan 257.5 hektar yang dilaksana secara berperingkat bermula pada 1 Disember 2019 sehingga kini.

Menurutnya, keempat-empat kawasan lesen ini terletak berhampiran antara satu sama lain dan berkongsi balai pemeriksaan hutan sementara, matau serta penempatan pekerja.

“Tinjauan pada 1 September 2020 juga mendapati, dakwaan bahawa aktiviti pembalakan di kawasan ini telah menyebabkan pencemaran kepada Sungai Telemong adalah kurang tepat, kerana air sungai tersebut masih jernih.

“Walaupun kawasan ini melibatkan aktiviti pembalakan secara tebang habis tetapi JPNP menetapkan syarat supaya kawasan zon penampan alur air untuk sungai masih tidak dibenarkan aktiviti penebangan pokok,” kata JPNP menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

JPNP menjelaskan, tinjauan juga mendapati pelesen masih mematuhi syarat-syarat ini cuma sebahagian kecil kawasan sungai yang terdapat sisa pembalakan di dalamnya.

Menurutnya, tinjauan juga dibuat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gapoi dan mendapati air sungai masih jernih dan dalam, khususnya di bahagian muka sauknya.

“Temubual dengan pekerja Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) di situ turut mengesahkan, tiada kes penutupan operasi loji akibat pencemaran sungai.

“Laporan aduan awam yang diterima JPNP juga telah disemak dan mendapati tiada aduan mahupun bantahan terutamanya oleh masyarakat Orang Asli Kampung Gapoi iaitu pertempatan paling hampir dengan kawasan pembalakan ini,” katanya.

JPNP juga menjelaskan, mereka mengulangi ingatannya kepada pihak pelesen supaya mengambil tindakan penyelenggaraan lebih kerap terutamanya yang melibatkan jalan pengeluaran hutan dan zon penampan alur air, demi mengurangkan impak kepada alam sekitar kawasan terlibat.

Menurutnya, pelesen juga telah diarahkan supaya memperbanyakkan papan tanda berkaitan lesen pengusahasilan yang aktif di kawasan ini, bagi mengelakkan persepsi negatif oleh orang awam. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: