MAJLIS PEMASYHURAN BANDARAYA KUANTAN DILAKSANAKAN DALAM SOP KETAT

KUANTAN, 19 FEBRUARI 2021: Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan pada Ahad ini akan dilaksanakan menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat demi membendung wabak pandemik COVID-19.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah jemputan khususnya dihadkan bagi memastikan pelaksanaan aspek penjarakan fizikal dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan diadakan susulan kelulusan diberi oleh Kerajaan Persekutuan menerusi mesyuarat Kabinet pada 8 Mei 2019.

“Mungkin ramai dalam kalangan penduduk Kuantan dan Pahang, tidak sedar tentang adanya Majlis Pemasyhuran ini kerana ia sengaja tidak diuar-uarkan seperti yang sepatutnya, memandangkan situasi COVID-19 sekarang,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau juga berkata, pemilihan tarikh 21 Februari ini juga diadakan setelah beberapa kali ditunda ekoran pertimbangan serupa.

Menurutnya, kali terakhir majlis seumpama ialah pada 1 September 1979 atau lebih 40 tahun lepas, sempena kenaikan taraf Kuantan daripada sebuah Bandar kepada Perbandaran.

“Sehubungan itu, saya berharap penduduk Kuantan dan Pahang amnya, dapat sama-sama berbangga dengan hari bersejarah sempena Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan ini sungguhpun diadakan dalam skala sederhana,” katanya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan berangkat bercemar duli, bagi menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan.

Keberangkatan Baginda akan diiringi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, akan berangkat sama.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan hadir ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin juga akan hadir. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download