Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
CAMERON HIGHLANDS, 31 DISEMBER 2020 : “Sumbangan ini boleh saya gunakan untuk bayar separuh sewa rumah dan juga belanja barang dapur,” kata Puan Puspavally Balasamy, 58, penerima Bantuan Kewangan ‘One Off’ Golongan Miskin Negeri Pahang.
Beliau antara 54 penerima bantuan berkenaan yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan “One Off” Golongan Miskin dan Insentif Pembelajaran Online Pelajar SPM Tahun 2020 Peringkat Dewan Negeri Tanah Rata Dewan Puncak Arabella di Tanah Rata di sini hari ini.
Puspavally ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang berkata, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dengan bantuan berkenaan.
“Sewa rumah RM600 setiap bulan, jadi bulan ini saya dapat bantuan dari Kerajaan Negeri RM300… boleh guna untuk bayar sewa.
“Rasa sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dengan kami tambah pula hanya saya yang bekerja kerana suami mengalami strok sebelah badan sejak 10 tahun lepas selain menghidap penyakit gout,” katanya yang merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata, gaji yang diterima sebagai tukang cuci di sebuah bank hanya RM400 sebulan dan bantuan yang diterima daripada JKM setiap bulan cukup untuk menampung dirinya serta keluarga.
Sementara itu, Siti Aisyah Priya Abd Rashid Kalimuthu yang merupakan penerima Insentif Pembelajaran Online Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 Peringkat Dewan Negeri (DN) Tanah Rata mengucapkan rasa syukur dengan pemberian insentif ini.
“Terima kasih Kerajaan Negeri yang ambil berat dengan kami golongan pelajar di negeri ini dengan memberikan insentif ini.
“Saya bercadang untuk membeli buku rujukan dan latihan baharu kerana kebanyakan buku yang ada telah habis digunakan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM tahun hadapan,” katanya yang merupakan pelajar di SMK Kampung Raja di sini.
Seorang lagi penerima insentif, Mohamad Asyraf Md Salleh, 17, juga bercadang untuk menggunakan wang insentif tersebut untuk membeli buku rujukan.
“Saya cadang nak guna untuk beli buku rujukan kerana sekarang buku teks dah kena pulang ke sekolah jadi saya nak cari buku untuk jadi rujukan latihan yang ada,” katanya yang merupakan pelajar SMK Ringlet.
Seramai 80 penerima Insentif Pembelajaran Online Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 Peringkat Dewan Negeri (DN) Tanah Rata berjumlah RM4,000.
Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highland, YB Tuan Ramli Dato’ Mohd Nor, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim dan barisan EXCO Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA
890 total views, 3 views today