MAHKAMAH TINGGI TOLAK KEBENARAN SEMAKAN KEHAKIMAN PEKEBUN DURIAN MUSANG KING RAUB

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 23 DISEMBER 2020: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan oleh 204 pekebun durian Musang King Raub bagi mengenepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan Kerajaan Pahang terhadap mereka pada 1 Ogos lalu.

 Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, YA Dato’ Haji Zainal Azman Ab. Aziz berdasarkan notis-notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri di mana ia bukan keputusan atau tindakan di bawah lingkungan semakan kehakiman dan merupakan tindakan pentadbiran.

Mahkamah juga berpendapat bahawa kesemua pekebun terbabit merupakan penceroboh terhadap tanah-tanah tersebut maka ia tidak mempunyai locus standi atau pendirian undang-undang bagi membuat semakan tersebut.

Mahkamah juga menolak untuk meneliti skim yang diberikan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) kerana notis pengusiran yang dikeluarkan adalah bukan keputusan yang boleh dicabar di bawah bidang kehakiman, justeru tiada keperluan bagi mahkamah untuk meneliti terma-terma di dalam skim tersebut.

Sebelum ini dua notis permohonan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi di mana kumpulan pertama melibatkan 110 pekebun memfailkannya pada 21 Ogos lalu dan diikuti kumpulan kedua melibatkan 94 pekebun pada 9 Disember lalu.

Kesemua 204 pekebun durian seluas kira-kira 2,167 hektar itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang, PKPP dan Royal Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri di Raub di mana Kerajaan Pahang telah mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai daripada penerokaan kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, di sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.- PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download