Pengusaha Ladang Madu Kelulut Pak Ya, En. Haziman Zakaria menunjukkan madu kelulut yang dihasilkan.

LIBAT KOMUNITI DALAM LADANG MADU KELULUT

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 26 OKTOBER 2020: Pengusaha Ladang Madu Kelulut Pak Ya, En. Haziman Zakaria, berhasrat untuk melibatkan komuniti setempat di dalam usaha meluaskan perusahaan ladang madu kelulut yang telah diusahakannya.

En. Haziman berkata, beliau ingin membantu komuniti dengan berkongsi pengalaman mengusahakan ladang sejak 2016 dengan mengusahakan ladang tersebut dengan skala yang lebih besar.

“Saya tidak bercadang untuk mengusahakan bersendirian tetapi ingin melibatkan komuniti setempat supaya perlaksanaannya lebih tersusun dan lancar serta dapat mengeluarkan hasil madu yang lebih banyak untuk pasaran yang lebih luas,” katanya.

Wartawan UKOMP mencuba madu kelulut di Ladang Madu Kelulut Pak Ya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika membuat rakaman Program Persona Pahang, di Ladang Madu Kelulut Pak Ya, Beserah, di sini, baru-baru ini.

Ladang yang diusahakan selama hampir lima tahun itu kini mempunyai sehungga 40 log yang menempatkan berpuluh-puluh koloni lebah daripada jenis damar dan itamar yang menghasilkan rasa madu yang sedikit berbeza daripada segi rasa, warna dan kelikatannya.

“Madu yang dihasilkan oleh lebah daripada jenis damar berasa sedikit masam manakala lebah itamar pula menghasilkan madu yang lebih manis dan kebiasannya digemari kanak-kanak.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada citarasa pelanggan itu sendiri kerana ada yang gemarkan madu kelulut yang masam dan ada yang gemarkan rasanya yang manis,” katanya.

Katanya, lebah kelulut menghasilkan tiga produk iaitu propolis yang mengandungi antibiotik semulajadi dan antibakteria, roti lebah yang menjadi makanan kepada koloni lebah dan madu yang dihasilkan daripada madu bunga.

Menyingkap khasiat dan kebaikan madu kelulut itu, En. Haziman berkata, ia sememangnya makanan sunnah yang hebat dalam membantu menyembuhkan pelbagai penyakit.

“Madu kelulut juga mampu menurunkan paras glukosa dalam darah dan sangat sesuai bagi penghidap diabetis,” katanya.

Kajian yang telah dilakukan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) membuktikan bahawa madu kelulut juga dapat mengurangkan kerosakan fungsi ginjal dan dapat mengurangkan tekanan aksidatif selain membantu penyerapan kalsium di dalam tubuh.

Madu kelulut juga terbukti lebih berkhasiat daripada madu biasa dan sangat istimewa kerana hanya didapati di kawasan negara tropika sahaja.

Ladang Madu Kelulut Pak Ya juga menerima kunjungan daripada orang ramai yang mahu melihat sendiri bagaimana porses penghasilan madu.

Orang ramai yang mencari madu kelulut juga boleh mendapatkan sebarang maklumat di laman facebook Kelulut Pak Ya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download