Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

LEBIH BANYAK JENIS PERNIAGAAN DIBENARKAN BEROPERASI

KUANTAN, 22 JUN 2020: Kerajaan Pahang memutuskan semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa kecuali sektor yang masih dilarang oleh Kerajaan Persekutuan seperti pusat hiburan, pub, kelab malam dan karaoke berkuat kuasa serta merta.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aktiviti perniagaan yang dibenarkan itu tertakluk kepada waktu operasi bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam sahaja kecuali bagi sektor yang dibenarkan (perkhidmatan essential) mengikut Kelulusan Lesen Perniagaan Asal seperti stesen minyak, kilang dan pusat perubatan sahaja selain aktiviti pasar awam yang dibenarkan beroperasi mulai jam 5.00 pagi.

Beliau berkata, semua premis wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) asas normal baharu meliputi pelaksanaan saringan setiap hari ke atas pekerja dan pelanggan bagi mengesan gejala COVID-19 seperti demam, batuk, sakit tekak, selsema atau sesak nafas.

Menurutnya, mana-mana yang bergejala atau demam melebihi 37.5 darjah Calsius tidak dibenarkan memasuki premis, pekerja yang bergejala hendaklah dirujuk ke pusat perubatan, merekod maklumat pekerja dan pelanggan melalui aplikasi MySejahtera atau MoveOn.my setiap kali operasi, mengekalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara pelanggan dan pekerja.

Katanya, pemilik premis juga perlu menyediakan penanda di lantai, tanda notis dan papan tanda pematuhan SOP dalam premis, melaksanakan proses pembersihan dan disinfeksi di dalam premis, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai penutup mulut dan hidung sebelum masuk premis dan semasa berada dalam premis serta menyediakan ‘hand sanitiser’ untuk kegunaan pekerja dan pelanggan.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju bahawa mana-mana syarat yang tidak dinyatakan secara khusus dalam SOP negeri adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan, serta akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan media di sini semalam.

Beliau juga berkata, adalah diingatkan agar semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan. Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi penguatkuasa lain. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: