YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak (tengah) ketika mengadakan sidang media Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

LEBIH 65,000 KEDIAMAN DI NEGERI INI TERIMA POSKAD BANCI MYCENSUS 2020

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 JULAI 2020 : Lebih 65,000 kediaman di negeri ini telah menerima poskad MyCensus 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat ini.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata penghantaran poskad MyCensus ini adalah sebahagian daripada dua fasa pembancian yang dijalankan kepada kira-kira 1.6 juta penduduk merangkumi 428,000 kediaman di seluruh negeri ini.

“Fasa pertama pembancian yang bermula dari 7 Julai sehingga 30 September 2020 melibatkan mod pembancian pengisian soal selidik secara atas talian iaitu e-Census.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menerima kad poskad MyCensus daripada Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang, Encik Zainol Jamil ketika mengadakan sidang media Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini

“Poskad yang dihantar ini mengandungi nombor ID bagi membolehkan isi rumah mendaftar masuk melalui sistem e-Census bagi melengkapkan borang bancian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang, Encik Zainol Jamil.

Beliau berkata bagi isi rumah yang tidak menerima poskad boleh membuat pra pendaftaran secara atas talian untuk mendapatkan maklumat bagi mengakses sistem berkenaan.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak mengisi borang soal selidik secara atas talian iaitu e-Census sambil diterangkan oleh Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang, Encik Zainol Jamil ketika mengadakan sidang media Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak menyerahkan poskad MyCensus kepada Pegawai Kewangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar Pengarah Jabatan ketika mengadakan sidang media Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

“Maklumat asas seperti nama, email, dan alamat lengkap diperlukan semasa membuat pendaftaran ini.

“Bagi permohonan yang berjaya, mereka akan dibekalkan dengan ID melalui SMS atau email yang didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata operasi pembancian fasa kedua iaitu secara bersemuka pula akan bermula pada 7 Oktober sehingga 24 Oktober ini.

“Fasa kedua ini melalui Computer Assisted Personal Interview (CAPI), Paper and Pen Interview (PAPI) dan Drop Off & Pick Up (DOPU).

“Seramai 4,584 pembanci dan lebih kurang 600 penyelia akan ditugaskan bagi pembancian kali ini yang merupakan kali keenam dilaksanakan di negara ini,” katanya.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak mengisi borang soal selidik secara atas talian iaitu e-Census ketika mengadakan sidang media Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

Menurut beliau lagi, kaedah temuramah secara bersemuka akan dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

“Banci 2020 dilaksanakan mengikut peruntukan Akta Banci 1960 (Disemak 1969) dan semua maklumat yang diterima daripada responden adalah sulit seperti termaktub di Seksyen 19 (Sub Seksyen 1 dan 2) iaitu Penyata Individu tidak boleh didedahkan.

“Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 serta di talian hotline banci 1-800-88-7720,” katanya. – PAHANGMEDIA.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: