KUANTAN, 5 JANUARI 2021: Keadaan banjir di Pahang semakin buruk apabila seramai 18,217 mangsa daripada 4,857 keluarga dipindahkan di 231 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan daerah di negeri ini.
Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 8 malam tadi daerah yang terjejas akibat banjir ialah Kuantan, Maran, Temerloh, Lipis, Raub, Jerantut, Rompin, Pekan dan Bera manakala PPS di Bentong sudah pun ditutup.
Daerah Maran paling teruk terjejas dengan 4,597 mangsa daripada 1,309 keluarga dipindahkan ke 38 PPS, Kuantan pula dengan 2,330 mangsa daripada 618 keluarga dipindahkan ke 18 PPS, diikuti daerah Lipis dengan 2,529 mangsa daripada 659 keluarga dipindahkan ke 40 PPS.
Di Jerantut pula, seramai 2,100 mangsa daripada 507 keluarga dipindahkan ke 35 PPS, di Raub seramai 2,356 mangsa daripada 630 keluarga dipindahkan ke 38 PPS manakala di Temerloh seramai 2,671 mangsa daripada 704 keluarga dipindahkan ke 39 PPS.
Di Rompin pula, seramai 976 mangsa daripada 252 keluarga dipindahkan ke enam PPS, di Pekan seramai 377 mangsa daripada 103 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS, manakala di Bera seramai 282 mangsa daripada 75 keluarga dipindahkan ke lapan PPS.
Dalam pada itu Jabatan Meteorologi Negeri Pahang mengeluarkan amaran peringkat kuning (waspada) dengan hujan lebat dijangka berlaku dibeberapa kawasan seperti di daerah Cameron Highlands, Lipis dan Jerantut.-PAHANGMEDIA