KUANTAN, 5 JANUARI 2021: Seramai lebih 10,000 sukarelawan telah digerakkan di seluruh Pahang bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terkesan akibat dilanda bencana itu ketika ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sukarelawan itu adalah dalam kalangan ahli-ahli badan-badan bukan Kerajaan (NGO) seperti Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Majlis Pembangunan Wanita Negeri Pahang (MPWNP), Sukarelawan Tunas Warisan (STW), serta ahli-ahli UMNO Bahagian-Bahagian termasuk ketiga-tiga sayapnya iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.
Beliau berkata, ini termasuklah juga Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) dan Jawatankuasa Pembangunan Orang Asli (JPOA).
Menurutnya, bantuan tersebut juga melibatkan bekerjasama dengan jabatan dan agensi penyelamat dalam memindahkan mangsa-mangsa banjir ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan, serta menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian.
“Sejak banjir melanda negeri ini dua hari lepas, lebih 10,000 sukarelawan kita di negeri ini telah digerakkan dan setakat ini, saya berpuas hati dengan usaha-usaha ini.
“Dengan ini dapat meringankan lagi usaha yang dilaksanakan oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan terlibat di bawah penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah-daerah berkenaan.
“Saya juga telah arahkan agar usaha-usaha bantuan ini dapat dipertingkatkan demi memastikan rakyat yang terkesan bencana banjir yang agak luar biasa terjadinya kali ini, dapat dibantu sehabis baiknya termasuk dalam tempoh pasca-banjir kelak, InsyaAllah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan tentang keperluan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapkan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 semasa musim bencana ini.
Setakat jam 7 petang tadi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri melaporkan, 10 daerah di negeri ini terbabit banjir kecuali Cameron Highlands dengan 18,908 mangsa daripada 5,034 keluarga ditempatkan di 238 pusat pemindahan sementara (PPS).-PAHANGMEDIA
993 total views, 11 views today