YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak

LANGKAH-LANGKAH KAWALAN DI NEGERI PAHANG SUSULAN PKPB DI SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

KUANTAN, 14 OKTOBER 2020: Orang ramai yang balik dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dinasihatkan untuk menghadkan pergerakan dan mengurangkan pergaulan dengan individu yang berisiko tinggi seperti orang tua, ibu mengandung dan kanak-kanak.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, mereka juga hendaklah sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer dan tidak bersalam dengan individu lain.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang turut menasihati agar mereka untuk tidak pergi ke tempat-tempat tumpuan ramai seperti majlis kenduri, tempat ibadat, pusat membeli belah, kedai makan, pusat rekreasi dan sebagainya bagi mengelakkan berlaku penularan virus COVID-19 memandangkan terdapat banyak kes COVID-19 yang tidak mempunyai gejala.

“Kerajaan Negeri Pahang mengucapkan selamat datang kepada pengunjung luar dan selamat pulang kepada anak-anak Pahang yang balik ke kampung.

“Bagi memastikan Negeri Pahang dalam keadaan terkawal, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Dato’ Sri Dr Sallehuddin berkata, Individu dari kawasan PKPB ini juga amat digalakkan untuk menjalani ujian makmal bagi mengesan COVID-19 dimana-mana fasiliti kesihatan swasta atau fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mereka mengetahui status jangkitan COVID-19 dan tidak menularkan virus tersebut kepada individu yang rapat.

Menurutnya, bagi individu yang tempat kerja mereka ditutup kerana terdapatnya kes positif COVID-19, mereka perlu melaporkan kepada pejabat kesihatan daerah yang terdekat bagi menjalani penilaian risiko dan saringan kesihatan serta perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Jika mereka mempunyai sebarang gejala jangkitan salur pernafasan, mereka dinasihatkan pergi ke fasiliti kesihatan KKM atau fasiliti kesihatan swasta yang terdekat untuk menjalani saringan kesihatan,” katanya.

Beliau juga berkata, semua acara perkumpulan atau aktiviti yang melebihi 100 orang adalah tidak dibenarkan di lokaliti yang mempunyai kes positif.

“Mari kita sama-sama mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP supaya Negeri Pahang bebas dari jangkitan COVID-19 dan menjadi tempat yang selamat untuk rakyat menjalani kehidupan seharian.

“Jangan jadikan diri kita sebagai penyebab kepada penularan virus COVID-19 dalam komuniti kita,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 322 total views

Please follow and like us:
error
error: