Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) ketika menziarahi kepada Encik Zulhanin Ab Ghani, 44, (kiri) yang diserang angin ahmar di Taman Berjaya Permai

KUNJUNGAN MENTERI BESAR SUNTIK SEMANGAT UNTUK PULIH

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 16 SEPTEMBER 2020: Kunjungan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memberi semangat kepada Encik Zulhanin Ab Ghani, 44, untuk kembali sembuh selepas diserang angin ahmar pada Julai lalu.

Akibat serangan angin ahmar, doktor terpaksa mengeluarkan sedikit tempurung kepala Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang itu.

Rahiman Abd Ghani, 39, menunjukkan gambar lama suaminya, Encik Zulhanin Ab Ghani, 44, bersama Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut isterinya, Rahiman Abd Ghani, 39, penyakit yang dialami suaminya sememangnya memerlukan sokongan dan semangat yang tinggi bagi membantu proses pemulihan.

Encik Zulhanin Ab Ghani, 44

“Saya sangat berbesar hati dengan kunjungan YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, walaupun sibuk tugasnya, namun beliau sempat melawat suami saya.

“Suami sebelum ini pernah bekerja di bawah YAB Menteri Besar ketika itu beliau menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Dato’ Sri juga ada bagi sumbangan peribadi pada hari ini, sebelum ini pun pernah dapat sumbangan… Saya memohon doa semua supaya suami dapat sembuh kembali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Berjaya Permai di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Di Pertua Dewan, YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain dan Pengarah Perhutanan Negeri, YH Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menziarahi kepada Encik Zulhanin Ab Ghani, 44, yang diserang angin ahmar di Taman Berjaya Permai

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, keadaan suaminya kini semakin baik berbanding sebelum ini apabila hanya mampu terbaring sahaja selepas terjatuh di dalam bilik tidur.

“Sekarang suami boleh duduk dan berjalan. Alhamdulillah keadaannya semakin pulih,” katanya.

Sementara itu, menurut YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, beliau sudah mengenali Encik Zulhanin sejak menjadi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan lagi dan ketika itu dia bertugas di Bahagian Perumahan.

“Apabila saya menjadi Menteri Besar, beliau pernah ditugaskan di bawah MMK sebagai urusetia Dewan sebelum dipindahkan ke Jabatan Perhutanan Negeri.

“Jadi bila saya dapat tahu berlaku peristiwa ini, saya ambil kesempatan datang juga, Kerajaan Negeri ada hulur sedikit bantuan sebelum ini. Saya doakan supaya Encik Zulhanin kembali sembuh seperti sedia kala,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 342 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error